Oleh Hamimi Kassim //
36 surat tunjuk sebab dikeluarkan untuk tindakan undang-undang bagi banteras kecurian buah kelapa sawit
KUCHING: Dalam tempoh empat bulan Ops Sawit Kenyalang dilancarkan, sebanyak 36 surat tunjuk sebab telah dikeluarkan untuk tindakan undang-undang bagi membanteras kecurian buah kelapa sawit di negeri ini.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuniti Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 13 surat dikeluarkan pada Julai, empat pada Ogos, 14 pada September dan lima pada Oktober.
Dalam operasi sama jelasnya, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga telah mengambil tindakan dengan membatalkan lesen ke atas tiga peniaga buah tandan segar (FFB).
“Bukan itu sahaja, sembilan peniaga FFB dan satu pekebun kecil telah digantung lesen selama tiga bulan.
“Manakala sebuah kilang kelapa sawit turut diberi amaran dan 23 peniaga FFB lagi dalam proses untuk diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Nasional Pengilangan Kelapa Sawit, Penapisan, Alam Sekitar dan Kualiti (POMREQ) di Hotel Pullman di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Uggah mendedahkan sebanyak dua premis peniaga FFB telah diserbu oleh pegawai penguat kuasa MPOB kerana disyaki menjalankan urus niaga tanpa lesen dan kini kertas siasatan sedang disediakan untuk tindakan mahkamah.
Justeru katanya, hasil Ops Sawit Kenyalang dan tindakan penguatkuasaan MPOB, bilangan kes kecurian FFB dan pencerobohan ke atas ladang sawit yang masih dalam pertikaian dan menunggu keputusan mahkamah di Sarawak telah berkurangan.
Untuk itu tegasnya, MPOB akan memperluaskan Ops Sawit Kenyalang ke seluruh Sarawak sehingga 31 Disember tahun ini bagi membanteras aktiviti kecurian FFB.
“Kita ingin memberi amaran sekali lagi bahawa tiada kompromi kepada semua pusat pengumpulan dan kilang yang menjalankan kerja tanpa lesen.
“Selain itu, berikutan masih ramai pekebun kecil di kawasan luar bandar yang masih belum memiliki lesen jualan dan tanaman sawit, kerajaan telah mengarahkan MPOB mempercepatkan proses ini,” jelasnya sambil berharap ia dapat diselesaikan pada penghujung Disember ini.
Dalam pada itu, Uggah memaklumkan sebanyak 20,000 lesen telah dikeluarkan kepada pekebun kecil di negeri ini sehingga kini, melibatkan keluasan 100,000 hektar ladang.