SIBU: Beberapa ahli keluarga telah membuat laporan polis selepas mendapati tujuh kubur di Tanah Perkuburan Maong Kerapa yang terletak berdekatan pekan Machan diceroboh penyangak kubur pagi kelmarin.
Perbuatan menyelongkar kubur dengan niat mencuri barang-barang yang ditanam bersama si mati disedari oleh ahli keluarga yang terjejas ketika mereka menziarahi tanah perkuburan pada Hari Para Mendiang atau All Souls’ Day pagi Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Ismail Mahmood ketika dihubungi memberitahu, ahli keluarga yang terjejas telah memaklumkan kepada pihaknya mengenai kes tersebut semalam.
Katanya pihaknya telah pergi ke tanah perkuburan tersebut pagi semalam dan mendapati terdapat kesan-kesan pencerobohan lama di tujuh kubur yang terjejas.
“Kami telah melakukan siasatan awal dan mendapati ada unsur-unsur pencerobohan lama yang menyebabkan kerosakan pada kubur-kubur yang terjejas namun sukar untuk mengenal pasti barang-barang yang hilang,” katanya.
Katanya berdasarkan kesan pencerobohan, ia adalah kesan lama dan tidak dapat dipastikan bila sebenarnya pencerobohan kubur itu berlaku.
Bagaimanapun katanya, ahli keluarga pemilik kubur yang terjejas telah memaklumkan kepada pihak polis bahawa mereka akan bergotong-royong untuk memperkemaskan semula kubur-kubur yang terjejas.