KOTA SAMARAHAN: Jadikan lagu ‘Wawasan Berkikis Bulu Betis’ sebagai ispirasi untuk mendidik anak hingga ke menara gading kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Pro Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu memberitahu, sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa berkorban wang ringgit untuk menyediakan pendidikan kepada anak mereka.
“Kita ambil inspirasi lirik lagu ‘Wawasan Berkikis Bulu Betis’ yang menyatakan pengorbanan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa di mana pendidikan anak-anak itu adalah satu pelaburan masa depan mereka.
“Justeru, saya berharap ibu bapa tidak mengabaikan tanggungjawab dalam menyediakan pendidikan kepada anak-anak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-18 UNIMAS di Dewan DeTAR Putra, di sini semalam.
Pada masa sama, Jabu menggesa agar graduan universiti dapat memberi sumbangan menerusi kepakaran dalam bidang masing-masing untuk bersama-sama mendukung Agenda Transformasi Negara.
“Untuk itu, UNIMAS harus lebih dinamik, progresif dan berani dalam mendepani cabaran baharu misalnya kerjasama dalam bidang biodiversiti bukan sahaja diterokai dalam aspek sains sumber alam semata tetapi perlu merentasi aspek disiplin dalaman yang turut meliputi bidang sains sosial dan kemanusiaan,” tegasnya.
Malah, menurutnya dengan kerjasama yang lebih dinamik itu maka momentum pergerakan Sarawak memasuki era baharu serta keupayaan membina struktur pembangunan ekonomi global berasaskan bidang industri, bioteknologi dan pelancongan sejajar dengan pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Di sini saya melihat universiti perlu berperanan secara lebih efisien dan kolektif sebagai ejen perubahan pembangunan negara,” ujarnya.
Hadir sama Naib Canselor UNIMAS Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dan tetamu kehormat lain.