
Peperiksaan diadakan di 270 pusat peperiksaan di seluruh Sarawak bermula 3 November hingga 3 Disember 2014.
KUCHING: Seramai 37,488 calon menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 270 pusat peperiksaan di seluruh Sarawak mulai semalam.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Serina Sauni menerusi kenyataan akhbar semalam, peperiksaan SPM bermula 3 November hingga 3 Disember 2014.
Pada masa sama beliau mengingatkan bahawa kertas peperiksaan yang dijadualkan pada 27 November dan telah dipinda pada 4 Disember sebelum ini ditukar balik seperti dalam jadual asal iaitu pada 27 November.
Sementara itu, Serina berkata seramai 5,766 calon kohort 2013/2014 akan menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Penggal 3 pada 3 hingga 11 November ini.
“Seramai 3,936 calon kohort 2013/2014 akan menduduki STPM Ulangan 1, 6,499 calon kohort 2014/2015 akan menduduki STPM Penggal 1 pada 13 hingga 19 November ini dan 3,758 calon kohort 2013/2014 akan menduduki STPM Ulangan 2 pada 20 hingga 26 November,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa seramai 3,053 calon akan menduduki Ujian Bertulis MUET sesi November 2014 di 53 pusat peperiksaan di seluruh Sarawak pada 8 November ini.