Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Pengusaha seni jahitan kreatif perlu proaktif, inovatif hasil cenderamata

$
0
0

KAGUM: Fatimah (kanan) ditemani Fully melihat hasil jahitan kreatif yang dipamerkan. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Pengusaha seni jatihan kreatif perlu proaktif dan inovatif menghasilkan produk cenderamata untuk menyokong sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, penghasilan produk cenderamata yang kreatif mampu menjadi tarikan kepada pelancong untuk mendapatkannya di negeri ini.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 ini, saya menggesa pengusaha seni jahitan kreatif menghasilkan satu produk cenderamata yang unik untuk tarikan pelancong yang datang ke Sarawak.

“Sekiranya produk cenderamata ini mendapat perhatian daripada para pelancong maka ia dapat menarik mereka untuk datang semula ke sini untuk mendapatkan produk kreatif itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Evolusi Seni Jahitan Kreatif 2014 dan Pemadanan Perniagaan Sarawak di Plaza Merdeka di sini semalam.

Fatimah memberitahu, secara tidak langsung penghasilan produk cenderamata itu dapat menjadi sumber pendapatan tambahan kepada pengusaha khususnya golongan wanita.

“Saya berasa cukup kagum melihat hasil seni jahitan kreatif yang dipamerkan, kesemuahasil produk ini dilakukan dengan kemahiran menjahit.

“Kemahiran ini bukan sahaja dapat membantu diri sendiri ketika perlu malah dapat menjana pendapatan yang lumayan,” tambahnya.

Pada masa sama beliau berkata masyarakat perlu mengubah persepsi bahawa menjahit bukan untuk menjahit pakaian sahaja tetapi ia lebih kepada penghasilan produk-produk sampingan lain.

Justeru, beliau menyokong usaha Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) dalam membantu rakyat terutama ibu tunggal menjana pendapatan di rumah.

“Produk seni jahitan kreatif berpotensi sebagai produk kerajinan tangan, kreativiti minda dan menjana pendapatan untuk kesejahteraan keluarga,” ujarnya.

Pameran itu diadakan bermula 6 Januari hingga 14 Januari di Plaza Merdeka, Kuching yang mempamerkan pelbagai hasil jahitan kreatif.

Hadir sama Pengerusi PSJK Fully Chye Goet Lee, Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Wahab Abang Julai, Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Rodziah Morshidi dan tetamu kehormat lain.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>