
SELAMAT ULANG TAHUN: Lee (empat kanan) Tony (lima kanan) dan tetamu lain pada majlis memotong kek sempena ulang tahun persatuan berkenaan.
MIRI: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini disaran mengadakan lebih banyak aktiviti sosial untuk menyokong konsep 1Malaysia.
Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, usaha ini penting untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan kestabilan negara.
“Selain mengadakan aktiviti untuk ahli, persatuan dan NGO boleh mengadakan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat seterusnya mempromosikan interaksi sosial,” katanya semasa merasmikan Majlis Ulang Tahun Ke-31 Miri Che Lee Khor Moral Uplifting Society di Dewan Suarah Miri malam kelmarin.
Lee yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, perpaduan berbilang kaum merupakan tonggak utama kekuatan negara dalam memastikan kesinambungan pembangunan dan kestabilan terus terpelihara.
Dalam konteks ini, Lee memuji usaha Miri Che Lee Khor Moral Uplifting Society atas kejayaan mereka menzahirkan semangat 1Malaysia melalui penganjuran pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Persatuan telah menunjukkan teladan yang baik untuk mengekalkan keprihatinan dalam membantu beberapa program kebajikan di sini,” katanya sambil menambah semangat ini perlu dicontohi oleh persatuan dan NGO sejajar dengan usaha kerajaan mewujudkan masyarakat penyayang dan prihatin.
Ujar Lee, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi kebajikan masyarakat yang kurang bernasib baik dan memerlukan.
Namun usaha daripada pihak kerajaan ia tidak memadai sebaliknya memerlukan kerjasama daripada masyarakat awam.
“Justeru kerajaan amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang sudi menghulurkan sumbangan khususnya berbentuk kewangan dan kami amat menghargainya, ” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Tony Pui berkata bukan mudah untuk mengendalikan kerja-kerja amal namun persatuan berjaya menanganinya sekali gus memastikan masyarakat di sekiling mendapat manfaat yang sepenuhnya.
Beliau berterima kasih kepada orang awam yang sentiasa menyokong aktiviti persatuan antaranya pemberian derma kepada masyarakat miskin, ceramah kesihatan dan kempen derma darah.