Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Sarawak dijangka tarik lebih 4.1 juta pelancong tahun ini

$
0
0

SIMBOLIK PELANCARAN: Talib meneliti replika brosur Pakej Inap Desa Rumah Panjang di Sarawak yang dilancarkan semalam sempena TMM 2014. — Gambar Jeffery Mustapa

KUCHING: Jumlah kedatangan pelancong ke Sarawak tahun ini diyakini mampu melangkaui angka 4.1 juta, kata Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip.

Katanya sasaran itu mampu dicapai berdasarkan corak kemasukan pelawat lebih-lebih lagi sejak dua tahun lepas dan ditambah lagi dengan kerancakan aktiviti dan promosi sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014).

“Sasaran asal kami adalah 4.1 juta. Kami yakin jumlah pelancong datang ke Sarawak akan bertambah lebih banyak daripada angka tersebut yang dapat dicapai pada 2013 dan 2012 lalu.

“Malah hari ini (semalam) kita mengalu-alukan sekitar 90 pelancong dari negara asing ke Sarawak dan ini merupakan satu permulaan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Brosur Pakej Inap Desa Rumah Panjang di Sarawak, di Bilik VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia Hasiah @ Magie Abang Saufi dan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara Profesor Emeritus Datuk Zuraina Majid.

Talib berkata, pelancaran brosur dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Jepun dan Mandarin itu mampu membantu mempromosikan keunikan yang ada di negeri ini kepada pelancong luar.

Brosur tersebut menampilkan 13 rumah panjang yang menyertai program inap desa atau homestay, yang dikenal pasti untuk dipromosikan kepada pelancong tempatan dan luar negara.

“Program inap desa di Sarawak unik kerana kita mempunyai banyak kampung kerana selain daripada perkampungan nelayan, kita mempunyai rumah panjang yang tidak ada di tempat lain,” katanya.

Setiap rumah panjang mempunyai keunikan tersendiri mengikut suku kaum yang mendiami rumah panjang berkenaan dan ia dibahagikan kepada etnik Iban, Bidayuh, Orang Ulu dengan setiap suku kaum mempunyai latar belakang kebudayaan dan tradisi berbeza.

Menurut beliau, pelancaran pakej inap desa itu juga merupakan salah satu inisiatif ‘Visit My Kampung (VMK) – Transforming Kampungs into centres of tourism to accelerate rural development’.

Inisiatif itu katanya, adalah di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk membangun dan mengembangkan aktiviti-aktiviti pelancongan berasaskan penduduk setempat dan produk-produk pelancongan yang ada di sekeliling dengan harapan mereka dapat membangunkan kampung atau rumah panjang sebagai satu tempat tarikan pelancongan yang mampu menjana pendapatan.

Beliau menjelaskan lagi, program itu adalah berasaskan perkongsian awam dan swasta untuk mewujudkan masyarakat yang menjalankan perniagaan berasaskan pelancongan di mana peruntukan modal dan latihan akan disediakan kepada kampung atau rumah panjang yang berpotensi.

Pada tahun lepas, Sarawak mencatat jumlah ketibaan pelawat seramai 4.2 juta orang yang membawa pendapatan sebanyak RM9.1 bilion.

Antara acara pelancongan negeri yang dimasukkan ke dalam Kalendar Pelancongan Negara tahun ini adalah World Harvest Festival di Kuching pada 2-4 Mei, Borneo Jazz Festival di Miri (9-10 Mei), Pesta Benak di Sri Aman (Mei), Sambutan Gawai Dayak di Kuching (1-2 Jun), Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia di Kampung Budaya Sarawak (20-22 Jun) dan Regata Sarawak (5-7 September).


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>