Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Rh Ngindang musnah terbakar

$
0
0

MENJULANG: Api yang marak membakar Rumah Ngindang sepanjang 38 pintu di Niah, semalam.

MIRI: Rumah Ngindang sepanjang 38 pintu yang terletak di Sungai Sebatuk, Niah kira-kira satu jam setengah perjalanan dari sini musnah dalam kebakaran pada jam 8 pagi semalam.

Api yang dipercayai bermula dari salah sebuah bilik rumah panjang berkenaan mencetuskan kebakaran yang meranapkan hampir keseluruhan rumah panjang terbabit yang diperbuat daripada kayu, sekali gus menyebabkan 329 penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

Salah seorang saksi yang ditemui pemberita di tempat kejadian semalam, Cassi Napi, 18, memberitahu beliau sedang berada di dapur bersama dengan ibu dan adik perempuannya, apabila mereka terdengar teriakan, “Api! Api!”

Bagaimanapun, katanya, sebaik mereka terdengar jeritan tersebut, api sudah marak dan menyambar karpet dan siling bilik mereka.

“Apabila kami terdengar teriakan tersebut, api sudah pun menyambar lantai dan karpet di ruang tetamu. Itu yang membuat kaki saya melecur terbakar ketika cuba menyelamatkan dokumen-dokumen penting milik saya.

“Kejadian berlaku dengan begitu pantas menyebabkan ibu dan adik saya hanya mampu keluar menyelamatkan nyawa mereka dan saya sendiri tidak sempat mendapatkan semua dokumen yang terdiri daripada sijil-sijil sekolah yang disimpan sejak dari Tahun 1 kerana api semakin marak.

“Ia amat bermakna bagi saya,” katanya yang akan menyambung pengajian ke Tingkatan 6 Rendah di SMK Suai tahun depan.

Menurut penduduk kampung, ketika api membakar rumah panjang mereka, ramai daripada mereka sudah pergi ke kebun dan ladang-ladang sawit sejak jam 6 pagi lagi.

Salah seorang mangsa, Jentang Senang, 50, memberitahu ketika kebakaran berlaku tiada seorang pun ahli keluarganya beada di rumah untuk menyelamat sebahagian harta-benda mereka, menyebabkan mereka mengalami kerugian yang besar termasuk kayu-kayu belian bernilai lebih RM20,000.

“Sebenarnya kami sekeluarga merancang membina sebuah rumah yang baharu menggunakan kayu-kayu beliau tersebut, namun kini semua impian tersebut berkecai,” katanya.

Jentang memberitahu dia bersama suami dan anak lelakinya berada di kebun mereka ketika menerima panggilan daripada saudara mereka mengenai kebakaran tersebut.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana dokumen penting mereka seperti sijil-sijil lahir, kad pengenalan, kad-kad bank terselamat kerana sentiasa dibawanya bersama, ke mana sahaja dia pergi.

Namun bagi seorang lagi mangsa, Miang Lambat, 52, memberitahu beliau masih berada di biliknya ketika kebakaran berlaku.

“Apabila terdengar jeritan kuat di luar, saya terus keluar memeriksa apa yang berlaku dan ternampak api yang sedang marak membakar rumah panjang kami.

“Saya cuba untuk menyelamatkan harta benda kami namun gagal kerana api marak dan merebak dengan begitu pantas. Masing-masing hanya mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Dalam pada itu, 13 anggota bomba bersama sebuah jentera pemadam api daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.15 pagi.

Pasukan penyelamat tiba di rumah panjang tersebut selepas sejam setengah kemudiannya kerana jarak yang agak jauh dari Miri.

“Kami mengejar masa dan ia mengambil masa satu setengah jam untuk tiba dari Miri dan ketika kami sampai di sana, api sudah membakar 96 peratus rumah panjang berkenaan,” jelas Ketua Balai Bomba Miri, Ali Bema Jelik.

“Apa yang kami mampu lakukan ialah berusaha menyelamatkan bahagian yang masih tinggal dan tujuh pintu terakhir di hujung rumah panjang tersebut,” tambahnya ketika ditemui pemberita semalam.

Menurut beliau, jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan, namun pihak bomba bersyukur , tiada kemalangan jiwa berlaku dan hanya kecederaan melecur yang kecil sahaja ketika penghuni cuba menyelamatkan harta benda mereka.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>