SIBU: Dua lelaki diheret ke balai polis selepas mereka membuat kacau di sebuah restoran makanan segera berdekatan Pintu Gerbang Sibu, pagi semalam.
Menurut sumber, dua lelaki terbabit dipercayai sering mengganggu ketenteraman awam ketika melepak dan minum berkumpulan di kawasan berkenaan.
Difahamkan, kumpulan terbabit sering meminta duit daripada orang awam yang melalui kawasan tersebut.
Sekitar jam 7 pagi semalam, tiga lelaki dari kumpulan itu bertindak memasuki premis restoran makanan segera terbabit dalam keadaan tergesa-gesa.
Salah seorang daripada mereka memasuki kawasan dapur dan dipercayai meminta pisau daripada pekerja di situ.
Apabila permintaannya tidak dilayan, lelaki tersebut bertindak agresif sehingga menyebabkan pekerja di situ ketakutan.
Pada masa sama, beberapa orang awam yang memasuki premis itu cuba mengawal keadaan, namun suspek terus mengamuk.
Akhirnya, suspek berjaya ditangkap bersama-sama seorang rakan, manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri.
Semasa bergelut di situ, seorang daripada suspek mengalami pendarahan di bibirnya.
Kedua-dua suspek kemudiannya diserahkan ke Balai Polis Sentral untuk tindakan selanjutnya.