SIBU: Seramai lima ejen ‘bookie’ berjaya ditahan oleh pasukan polis D7 di sini sejak musim bola sepak Piala Dunia 2014 berlangsung, sekali gus mencatatkan tangkapan terbanyak di negeri ini.
Menurut sumber, jumlah tangkapan di negeri ini ialah 15 orang dengan lima daripadanya dicatatkan di bandar ini.
Sejak Ops Soga’ dilancarkan, pasukan polis D7 di sini telah menahan seorang wanita berumur 41 tahun di sebuah rumah di Jalan Kiew Nang pada 15 Jun lalu.
Operasi berterusan polis membuahkan hasil dengan tangkapan tiga lelaki lagi masing- masing di Jalan RTM, Jalan Rejang Park dan Jalan Meludan.
Awal pagi semalam, polis D7 berjaya menangkap seorang lagi lelaki di sebuah rumah di Jalan Poh Yew di sini.
Justeru, orang ramai diminta bekerjasama dengan polis dalam usaha membanteras kegiatan pertaruhan haram atau judi bola sepak dengan menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti pertaruhan haram Piala Dunia di kawasan mereka.