KUCHING: Penyokong dan ahli Pakatan Rakyat (PR) yang merangkumi Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa bekerja keras serta menggandakan usaha bagi menguatkan kubu pertahanan parti masing-masing.
Timbalan Pesuruhjaya Dua PAS Negeri Sarawak Mohamad Shokri Ahmad Fauzi berkata, setiap penyokong harus menunjukkan sokongan kuat dan padu sebagai persediaan untuk memastikan PR akan menjulang kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-14 tidak lama lagi.
“Pakatan Rakyat dilihat berupaya memenangi seberapa banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan kelak dan ia diharap akan menjadi sebagai satu kenyataan.
“Justeru, setiap ahli mahupun penyokong harus menggandakan usaha keras supaya kerusi yang dimenangi bertambah,” katanya kepada Utusan Borneo melalui sistem pesanan ringkas (SMS), baru-baru ini.
Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa di Sarawak, DAP dan PKR mempunyai wakil DUN di negeri ini dan PAS masih belum meraih sebarang kemenangan.
Namun yang demikian, ia langsung tidak mematahkan semangat ahli malah mereka lebih bersemangat untuk menarik lebih ramai ahli dan penyokong untuk melakukan perubahan pada pilihan raya kali ini, ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Shokri berkata, PAS Negeri kini sudah melengkapkan keempat-empat Dewan merangkumi Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Himpunan Penyokong PAS serta Dewan Ulama.
Selain itu, PAS juga sudah memegang sembilan kawasan di sembilan Parlimen dan mempunyai beberapa cawangan, jelasnya.