MIRI: Ibu bapa yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) tidak seharusnya malu dengan keadaan fizikal anak-anak mereka, sebaliknya reda kerana ia adalah anugerah Tuhan.
Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata, ibu bapa anak-anak OKU tidak harus meminggirkan atau mengasingkan mereka bergaul dengan kanak-kanak normal lain.
“Kita kadang-kadang kecewa dengan ibu bapa yang malu kerana mempunyai anak-anak OKU sedangkan anak-anak terbabit adalah anugerah Tuhan untuk mereka,” katanya di sini kelmarin.
Ahmad Lai memberitahu, tidak semua pasangan yang sudah berkahwin dikurniakan anak dan ada kalangan mereka menunggu lebih 10 tahun untuk mempunyai anak sendiri.
“Jika tidak mampu menjaga kebajikan anak-anak OKU, mereka boleh menyerahkan anak terbabit kepada keluarga angkat atau ditempatkan ke Pusat Dalam Komuniti (PDK),” ujarnya.
Beliau berkata tindakan mengurung, mengasing atau meminggirkan anak-anak OKU tidak harus berlaku kerana individu terbabit juga manusia dan tidak harus diperlakukan seperti binatang.
“Kes yang berlaku kepada adik Muhamad Firdaus Dullah harus dijadikan teladan dan ibu bapa yang tabah menjaga kerenah anak OKU dengan baik harus diberi pujian,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa kerajaan menyediakan pusat khas memberi pendidikan dan penjagaan yang rapi kepada anak-anak istimewa ini.
Sehubungan itu, beliau berkata tidak menjadi masalah kepada ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak istimewa terbabit ke PDK kerana kebajikan golongan itu juga dijaga.
“Kita berharap ibu bapa yang dianugerahkan anak-anak istimewa ini tidak malu, sebaliknya mendaftarkan golongan itu ke pusat khas supaya anak-anak OKU ini diberi penjagaan rapi,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim menasihati masyarakat agar melaporkan kes sedemikian kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sekiranya takut, mereka boleh melaporkan secara terus menerusi talian NUR iaitu 15999 dan sekiranya guna talian NUR pastikan alamat pelapor atau kes tersebut tepat.