Oleh Henrietta Liza //
Pertumbuhan 1.2-1.9 peratus tenaga mahir setahun bantu usaha capai sasaran itu menjelang 2030
KUCHING:Menteri Muda Promosi Pendidikan Teknikal Datu Len Talif Salleh berkata pertumbuhan positif antara 1.2 hingga 1.9 peratus tenaga mahir setiap tahun akan membantu usaha kerajaan negeri melahirkan 350,000 tenaga mahir menjelang 2030.
Beliau menambah, tenaga kerja mahir berusia antara 18 hingga 65 tahun itu akan mengisi kekosongan jawatan yang terdapat di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Oleh sebab itu, pelbagai strategi, inovasi dan kreativiti diketengahkan oleh institusi awam dan swasta dalam dunia pendidikan hari ini untuk memastikan graduan yang dihasilkan adalah berkualiti dan berdaya saing.
“Jika tidak, kita akan rugi sekiranya peluang pekerjaan ini diisi oleh tenaga kerja asing,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Politeknik Kuching Sarawak (PKS) Ke-22 di sini semalam.
Kemasukan dalam institusi Latihan Vokasional dan Teknikal (TVET) juga dilihat mengalami peningkatan positif daripada 67 peratus pada 2012 kepada lebih 75 peratus pada 2013.
Tambahnya, jumlah itu dijangka naik kepada 80 hingga 85 peratus menjelang 2013 dan 2014 yang akan diisi oleh pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau yang juga merupakan Menteri Muda Alam Sekitar berkata keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal semakin diberi keutamaan.
Len berkata peranan PKS dilihat amat signifikan dalam melahirkan modal insan semi profesional dalam bidang yang diperlukan negara.
Kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) memberi fokus kepada 12 jentera Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) iaitu meliputi minyak, gas dan tenaga, minyak sawit, perkhidmatan kewangan.
Juga melibatkan bidang pelancongan, perkhidmatan perniagaan, elektronik dan elektrikal, borong dan runcit, pendidikan, kesihatan, komunikasi, prasarana, pertanian dan ‘Greater’ Kuala Lumpur.
TVET diarusperdanakan sebagai langkah merealisasikan sasaran negara termasuk meningkatkan imej TVET pada pandangan masyarakat.
“Kita harus menyedari hakikat bidang teknikal dan vokasional mampu melahirkan modal insan yang berpendapatan tinggi.
“Walaupun kita sering mendengar kritikan bahawa tenaga kerja yang dilahirkan institusi tertentu tidak kompetatif dan tidak bersesuaian dengan kehendak pasaran,” katanya.
Menyedari potensi kerjaya dan peluang pekerjaan melalui inisiatif di bawah NKEA, beliau menyeru graduan PKS memberanikan diri merebut peluang yang disediakan.
Turut hadir Pengarah PKS Clara Ong Guat Leng.