SIBU: Panggilan palsu yang dibuat ke Jabatan Bomba dan Penyelamat mencatatkan penurunan 20 peratus bagi tempoh lima bulan tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Nor Hisham Mohammad berkata daripada 1,232 paggilan yang dibuat hanya 12 panggilan adalah panggilan palsu.
Beliau menggesa orang ramai agar lebih bertanggungjawab dengan tidak membuat panggilan palsu.
“Panggilan palsu boleh menjejaskan usaha menyelamatkan jika berlaku kecemasan sebenar.
“Ini kerana, bantuan yang diperlukan pergi ke kawasan yang didakwa berlakunya kecemasan,” katanya ketika ditanya mengenai bilangan panggilan palsu kepada pihak bomba.
Ditanya jika tindakan diambil terhadap pemanggil yang membuat panggilan palsu, beliau berkata semua nombor telefon akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan selanjutnya.
Menurut Nor Hisham, tindakan mengemukakan panggilan palsu akan dilakukan setiap setengah tahun.
“Operator kami akan menghubungi semula pemanggil terbabit dengan memberi nasihat dan juga amaran,” jelasnya sambil menggesa orang ramai supaya menjadi rakyat yang baik dan bertanggungjawab.
Bagi tujuan ini, beliau menjelaskan bahawa panggilan palsu biasanya ditangani melalui panggilan pusat MERS 999.