KUCHING: Sudah tiba masanya pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) diberi keutamaan khasnya di kawasan yang sering menjadi tumpuan penjenayah khasnya kaki ragut di sekitar bandar raya ini.
Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat Voon Shiak Ni berkata, tindakan pihak bertanggungjawab tampil dengan program bertujuan mempromosi Kuching sebagai sebuah bandar cantik dan selamat adalah wajar dipuji, namun begitu penguatkuasaan program berkenaan adalah tidak produktif dan samar-samar.
“Kami mahu mengingatkan kepada pihak bertanggungjawab bahawa kepentingan CCTV adalah untuk mencegah vandalisme, menangkap peragut dan perompak dan untuk itu kami ingin tahu berapa banyak CCTV telah di pasang di bandar raya ini bagi tujuan itu?
“Pada masa ini, kami tidak tahu berapa banyak yang telah dibuat dan dilakukan serta pencapaian ojektif bagi program berkenaan seperti ‘MBKS Safe City Programme’ mahupun ‘DBKU Clean, Beautiful, Safe City Programme’.
“Oleh itu, kami mahu mereka (DBKU dan MBKS) memaklumkan kepada rakyat sejauh mana pelaksanaan program-program ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.
Dalam pada itu, Voon turut mengulas kenyataan Datuk Wee Hong Seng yang meminta CCTV dipasang di Lebuh India sebagai langkah merakam gambar pengunjung yang tidak bertanggungjawab membuang sampah dan merosakkan seni jalanan orang utan yang popular di situ.
“Ia merupakan langkah positif bagi melindungi harta benda awam, tetapi harus diingat pemasangan CCTV bukanlah terhad hanya untuk tujuan itu sahaja tetapi keselamatan penduduk juga penting dan ia tidak boleh dibiarkan.
“Kerajaan telah menyediakan peruntukan RM800,000 kepada MBKS bagi program bandar selamat, di mana 24 CCTV akan dibaiki di kawasan yang dikenal pasti oleh polis.
“Justeru, kami mahu MBKS memberitahu orang awam di mana 24 CCTV ini diletakkan supaya dapatlah masyarakat berasa selamat berada di kawasan berkenaan,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Cabang PKR Petra Jaya Baharudin Mokhsen mengharapkan kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah pengangguran yang mengundang masalah kecurian dan rompakan di Petra Jaya.
“Jenayah merupakan isu besar di Petra Jaya dan kami mahu isu ini diatasi dari peringkat teras yang mana kegagalan kerajaan menyediakan aktiviti ekonomi yang mencukupi menyebabkan ada antara masyarakat memilih untuk melakukan jenayah untuk meneruskan kehidupan.
“Oleh itu, kita berharap kerajaan dapat melihat perkara ini dengan sedalamnya,” jelasnya.
Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi PKR Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How.