LIMBANG: Orang ramai diingatkan agar tidak mencetuskan khabar angin mengenai berlakunya banjir di bahagian ini sebaliknya menyalurkan maklumat yang betul bagi memudahkan bantuan diberikan kepada mangsa bencana sekiranya berlaku banjir.
Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Aziah Saruji berkata, masyarakat atau mangsa banjir perlu melaporkan segera maklumat kepada ketua-ketua kampung sekiranya berdepan dengan musibah itu.
Jelas beliau lagi, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian banjir di bahagian ini walaupun musibah itu berlaku di kawasan lain di negeri ini.
“Kami memohon kerjasama orang ramai agar tidak mencetuskan khabar angin dan maklumat tidak benar mengenai kejadian banjir di sini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Jelasnya hujan lebat yang kerap berlaku kebelakangan ini hanya mencetuskan banjir kilat dan tidak melibatkan kerja pengagihan bantuan dan pemindahan.
Dalam pada itu, Aziah menjelaskan bahawa pihaknya juga sudah bersiap sedia menghadapi banjir gelombang kedua dari segi bantuan makanan kepada mangsa.
Katanya, lagi sebanyak empat pangkalan hadapan diwujudkan di bahagian ini termasuk dua di Limbang membabitkan Pejabat Daerah Medamit dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan dua lagi di Lawas (Pejabat Pentadbiran di Trusan dan Merapok).
“Pengkalan hadapan ini penting untuk memudahkan lagi kerja pengagihan bekalan makanan kepada mangsa sekiranya berlaku bencana termasuk banjir,” tambahnya.
Beliau berkata pihaknya turut mengenal pasti 28 pusat pemindahan banjir di bahagian Limbang yang kini sudah diselenggara sebagai persiapan awal berlakunya banjir.
Sementara itu Aziah menasihati masyarakat di sini agar menghubungi segera pihaknya jika berdepan dengan kejadian banjir sebagai langkah persiapan selain mengutamakan keselamatan mereka.