Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Krismas masa bersama keluarga, erat silaturahim

$
0
0

Ramai penganut Kristian bercuti panjang untuk luangkan masa bersama keluarga, jenguk orang tua

BINTULU: Perayaan Krismas dimanfaatkan sepenuhnya oleh umat Kristian di bahagian ini bagi mengeratkan lagi silaturahim antara ahli keluarga dan sahabat-handai tidak kira di mana mereka berada.

Dalam pada itu, kesempatan cuti perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baharu 2014 yang bakal tiba menjadikan ramai daripada masyarakat di sini tidak kira tua atau muda mengambil cuti panjang bagi meluangkan masa bersama ahli keluarga serta menjenguk orang tua masing-masing.

Philip Johnny, 24, berkata cuti Krismas ini dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi meluangkan masa bersama ahli keluarga di samping meraikan hari kesyukuran yang amat penting buat penganut agama Kristian di negara ini.

Jelasnya, sudah menjadi kemestian baginya untuk balik ke kampung halamannya setiap kali menjelang perayaan Krismas bagi berjumpa dengan ahli keluarga dan  sanak-saudara.

“Inilah nikmatnya perayaan Krismas yang mana setiap ahli keluarga dapat berkumpul serta makan malam bersama terutama pada malam ambang Krismas kerana ia merupakan peluang terbaik bagi bertanya khabar berita dengan ahli keluarga lain,” ujarnya.

Nicholas Rekan, 27, dalam pada itu berkata, dia dan keluarga akan mengadakan acara makan malam bersama keluarga setiap kali menjelang Krismas.

Jelasnya, hanya melalui acara makan malam terutama pada malam ambang Krismas perjumpaan keluarga akan menjadi lebih bermakna kerana semuanya saling beramah mesra serta bertanya khabar antara satu sama lain.

“Tetapi pada tahun ini, saya dan keluarga telah menukar suasana sambutan dengan merayakannya dengan ahli keluarga kami yang berada di bandar raya Miri yang mana ia dijangka akan menjadi perjumpaan keluarga yang agak meriah nanti,” ujarnya.

Pada hari ini (25 Disember), umat Kristian di seluruh dunia telah merayakan perayaan Krismas yang merupakan simbolik kemenangan, kesyukuran dan kegembiraan buat mereka dalam menangani kejahatan.

Apa yang lebih penting lagi, ia merupakan perayaan suci bagi memperingati kelahiran Yesus Kristus yang merupakan penebus serta juruselamat buat umat Kristian dan bagi sesiapa yang percaya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Trending Articles



<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>