Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

18,461 MyKad masih belum dituntut di Sarawak

$
0
0

KUCHING: Sebanyak 18,461 kad pengenalan atau MyKad yang tidak dituntut di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak sehingga 3 Novem­ber lepas.

Pengarah JPN Negeri Datu Abu Bakar Mat berkata, bagaimanapun jumlah berk­enaan tidak konsisten ber­gantung kepada Putrajaya, memandangkan sebahagian daripada permohonan kad berkenaan dicetak di sana.

Menurut beliau, di Sarawak selain di Kuching, cetakan MyKad hanya dibuat di Miri dan Sri Aman dan akan datang di Sibu yang dijangka berop­erasi awal tahun depan.

“MyKad yang paling lama tidak dituntut adalah sejak tahun 2010, iaitu dalam em­pat orang yang tidak berbuat demikian (tuntut).

“Pada kebiasaannya, se­lepas tiga tahun kad terbabit akan dilupuskan, bagaimana­pun memandangkan ia pen­genalan penting, jabatan terus berusaha mengesan pemohon berkenaan melalui hubungan dengan pelbagai agensi,” ujarnya pada majlis wawancara bersama media di pejabat JPN Negeri di sini, semalam.

Abu Bakar menjelaskan, antara kerjasama terbaharu ialah dengan Pejabat Residen atau Pejabat Daerah di mana jabatan meminta kerjasama residen atau pegawai daerah menghebahkan perkara itu melalui pertemuan bersama ketua kaum atau tuai ru­mah.

Daripada jumlah keselu­ruhan MyKad yang tidak dituntut, Kuching merupakan antara yang mencatatkan ter­tinggi dan masih mempunyai lambakan MyKad sejak tahun 2010.

“Meskipun Kuching ada kemudahan dan sebagainya, tetapi ia mencatatkan antara yang tertinggi iaitu 2,372 MyKad serta MyKid tidak dituntut.

“Di pejabat kecil kita, tidak banyak yang berlaku misalnya di Lingga iaitu dua kad sahaja yang tidak dituntut, tambahan Lingga berdekatan dengan Sri Aman, maka ramai yang pergi ke sana,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, sejak Januari lepas kira-kira 9,000 MyKad dilaporkan hi­lang di seluruh negeri dengan alasan biasa ialah kecuaian atau keciciran, selain kes ragut.

Bagi kes ragut, ujar Abu Bakar, bilangan laporan kecil berbanding keciciran atau kecuaian dan kompaun yang dikenakan kes ragut juga berbeza daripada dua perkara berkenaan.

“Di Sarawak antara cabaran kepada kita dalam menyedi­akan perkhidmatan ialah dari segi kesedaran masyarakat itu sendiri apabila ada di kalangan mereka yang sudah memohon MyKad tetapi lambat men­untutnya sehingga jabatan mempunyai lambakan kad tidak dituntut,” katanya.

Selain itu, bagi pendaftaran dokumen pengenalan diri terdapat juga pemohon lewat atau lambat membuat pen­daftaran sijil lahir yang akan menyebabkan proses berbeza daripada permohonan biasa.

“Ini kadang-kadang boleh menjejaskan pemohon men­dapat dokumen dalam masa terdekat kerana kita perlu satu pengesahan atau bukti kukuh sebelum mengeluarkan dokumen,” katanya.

Abu Bakar menjelaskan, bagi pendaftaran sehari hingga 14 hari selepas kelahiran adalah biasa, manakala tem­poh 15 hari hingga 40 hari dikategorikan sebagai lambat dan selepas dari tempoh itu adalah pendaftaran lewat.

Pada tahun ini sahaja, kira-kira 2,320 orang yang membuat pendaftaran lewat (bagi mereka yang mendaftar kelahiran selepas 40 hari), bagaimanapun 488 dari­padanya berjaya dilaksanakan melalui program ‘outreach’ atau turun padang oleh JPN Sarawak.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859