KUCHING: Insiden membabitkan dua anggota Parti Pekerja Sarawak (SWP) diajak memasuki salah sebuah parti dalam Pakatan Rakyat (PR) melemahkan kepercayaan SWP untuk menyertai pakatan berkenaan.
Presidennya Larry Sng berkata, kejadian yang berlaku itu menyebabkan SWP berasa kecewa dan ia mempengaruhi niat untuk menyertai PR.
“Dua bulan lepas, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang Ahli Kanan Majlis Tertinggi SWP telah dihubungi dan diminta meletak jawatan dari parti untuk memasuki salah satu daripada parti Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini.
“Kita tidak mahu mendedahkan identiti dan nama mereka, tetapi kedua-dua insiden tersebut melibatkan ahli kanan parti dan bukan ahli biasa.
“Sebab itu kita mengambil perkara ini dengan serius kerana kita (SWP) mempercayai mereka,” katanya sambil menambah beliau sudah berbincang dengan pihak berkenaan.
Jelasnya, walaupun permintaan itu telah ditolak, tetapi kejadian berkenaan merisaukannya kerana ia disifatkan perkara serius berkaitan kepercayaan antara parti terdapat dalam PR.
Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Majlis Tertinggi sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Ibu Pejabat SWP di sini, semalam.
“Sebagai langkah terbaik, buat masa ini kita berasa patut menenangkan diri (memikirkan semula perancangan berkenaan) kerana bagi kita ini merupakan perkara yang begitu serius yang mana melibatkan kepercayaan yang telah dibina sejak enam bulan lalu.
“SWP ikhlas untuk menjalinkan kerjasama dengan parti lain dalam PR dan kita juga ikhlas ke arah menyertai pakatan tersebut, tetapi sayangnya ia tidak seperti yang dibayangkan.
“Dalam mesyuarat kita hari ini (semalam), kita telah berbincang dan akan mengambil perkara ini dengan serius,” katanya.
Mengulas lanjut, Larry memberitahu, salah seorang ahli kanan parti berkenaan diminta meletak jawatan dari SWP dan diminta kekal sebagai anggota bebas sebelum menyertai parti berkenaan selepas beberapa bulan.
Bercerita mengenai AGM SWP, menurutnya, ia akan dianjurkan pada 19 Julai depan di sini yang mana lokasinya akan dimaklumkan kemudian.
Menurutnya, pada mesyuarat semalam pihaknya telah berbincang hala tuju serta visi parti yang mana akan diumumkan pada AGM itu nanti.
“Kita akan mengambil pendekatan dalam mendekati orang ramai dan kita berasa penting untuk kita berkongsi visi serta dasar kepada semua kerana apa yang kita ingin bangkitkan dan perjuangkan adalah faedah kepada kelas pertengahan di Sarawak,” katanya menambah, AGM tahun ini merupakan AGM kedua SWP.
Ketika ditanya mengenai kehadiran Wong Judat yang dikatakan kurang pada persidangan DUN yang bermula minggu lalu, beliau menolak dakwaan tersebut.
Menurutnya, Wong menghadiri persidangan terbabit dan sekiranya mempunyai pertanyaan mengenai isu terbabit, berhubunglah dengan beliau sendiri.