SIBU: Pengerusi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Bahagian Meluan Jerry Clement menyifatkan tindakan pemimpin tertentu Wanita dan Pemuda SPDP meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Presiden Tan Sri William Mawan Ikom sebagai mengingkari dan menentang arahan pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) negeri dan pusat.
Menurutnya, ini disebabkan tindakan Mawan yang merupakan Naib Presiden BN negeri adalah melaksanakan arahan berlandaskan permuafakatan serta prinsip kerjasama kepentingan BN.
“Tindakan ini bertujuan menyelesaikan masalah dan tidak harus dianggap berat sebelah yang menyebabkan berlakunya masalah dihadapi parti sekarang.
“Justeru, usul undi tidak percaya terhadap Mawan yang merupakan Naib Presiden BN negeri dibentangkan oleh Ketua Wanita SPDP, Datuk Chiew Yen Chew dan Ketua Pemuda SPDP, Robert Ayu menentang secara terang-terangan dan melanggar prinsip BN.
“Ia juga memberi implikasi bahawa Majlis Tertinggi BN tidak berwibawa dan relevan sehingga seorang Ketua Wanita dan Ketua Pemuda yang tidak begitu dikenali sanggup merancang secara teratur menggerak serta membentang usul tidak percaya terhadap Mawan kerana tindakan beliau yang menuruti arahan Pengerusi BN pusat dan negeri untuk menerima kembali empat wakil rakyat SPDP yang disingkirkan demi kepentingan BN,” katanya di sini semalam.
Jelasnya, perbuatan kedua-dua individu tersebut telah merosakkan keharmonian parti serta mencemar imej dan akan menggugat kestabilan BN.
“Dakwaan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda SPDP bahawa cara Mawan menerima kembali empat wakil rakyat SPDP tersebut tidak bersistem dan berperlembagaan adalah tidak wajar dan tidak tepat.
“Ini menjurus kepada erti bahawa arahan pemimpin tertinggi BN tidak dianggap sistematik dan tidak boleh dijadikan panduan menjaga kepentingan parti dan ahlinya.
“Arahan seperti ini sudah lumrah berlaku ke atas komponen-komponen parti BN di negara ini, sebelum Chiew Yen Chew dan Robert Ayu lahir lagi,” tegasnya.
Jika melihat sejarah sejak kewujudan SPDP, serpihan Parti SNAP didapati ada kes-kes terdahulu dan Mawan menerima kembali ahli parti ke dalam SPDP seperti pada 2002, ADUN Meluan, Wong Judat yang merupakan calon bebas yang menang melawan calon BN-SNAP Giman Itam.
Penerimaan keempat-empat wakil rakyat itu jelas tidak melalui EGM ataupun menggunakan ‘delegates konferen.’
“Dalam hal ini, SPDP telah membuat persetujuan menerima ahli masuk ke dalam parti tanpa melalui kuasa perwakilan.
“Persoalannya adakah penerimaan keempat-empat wakil rakyat SPDP tersebut berperlembagaan atau tidak ketika itu. Mengapa tidak ada kedengaran tentangan daripada Ketua Wanita dan Ketua Pemuda terhadap isu itu.
“Mengapa tidak ada usul undi tidak percaya terhadap Presiden berkaitan penerimaan empat wakil rakyat SPDP tersebut.
“Adakah tindakan Mawan ketika ini dianggap tidak menentu oleh Ketua Pemuda?” katanya.