MIRI: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) akan bekerjasama dengan polis bagi memastikan Borneo Jazz 2014 bebas unsur dadah.
Pengarah Unit Komunikasi Korporat STB Angelina Patricia Bateman memberithu, kerjasama terbabit adalah usaha mengelakkan perkara yang tidak diingini berikutan insiden kematian enam belia yang mengambil dadah secara berlebihan ketika menghadiri Future Music Festival Asia di Stadium Bukit Jalil baru-baru ini.
“Kami akan bekerjasama dengan polis khususnya Jabatan Narkotik serta memperketatkan lagi pengawalan bagi memastikan tiada kejadian tersebut (dadah) dan memastikan mereka yang menghadiri Borneo Jazz 2014 kelak bebas pengaruh dadah,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah keselamatan yang diambil oleh STB bagi penganjuran Borneo Jazz pada Jumaat (9 Mei) dan Sabtu (10 Mei) ini.
Katanya, pihak penganjur akan menjalankan pengawasan ketat termasuk memeriksa setiap beg penonton di pintu masuk.
“Pihak kami akan melakukan pemeriksaan ketat seperti memeriksa setiap beg penonton sebelum membenarkan mereka masuk untuk memastikan mereka tidak membawa, menyembunyikan atau menyeludup barang yang tidak dibenarkan seperti dadah.
“Pihak STB dan polis akan saling berjaga di pintu masuk dan melakukan pemeriksaan berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun jelasnya, beliau yakin dan percaya penonton Borneo Jazz kelak akan memberi kerjasama yang baik dan mengekalkan rekod disiplin baik seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Berdasarkan penganjuran Borneo Jazz sebelum ini, penonton amat berkelakuan baik dan bersama menghayati muzik jazz tanpa ada sebarang masalah yang tidak diingini.
“Justeru, kami yakin bahawa penonton akan terus memberi kerjasama bagi bersama menjayakan Borneo Jazz 2014 kelak,” tambahnya.
Sementara itu, mengulas mengenai jualan tiket, Angelina berkata sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat dari dalam dan luar negara khususnya melalui pembelian di laman sesawang.