Untuk itu SDNU Sibu akan bekerjasama dengan Pejabat Kraftangan Malaysia Sarawak
Oleh Watt Zacchaeus //
SIBU: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu akan bekerjasama dengan Pejabat Kraftangan Malaysia Sarawak bagi memajukan sektor kraf tangan Iban di sini.
Pengerusinya Tengku Gruna berkata, produk kraf tangan Iban di sini masih belum dapat menyaingi kraf tangan-kraf tangan lain yang sedia ada di pasaran ketika ini.
“Ramai penduduk rumah panjang di sini mempunyai kemahiran menghasilkan kraf tangan, namun masih belum mengetahui cara memasarkan produk mereka bagi menjana ekonomi dan pendapatan.
“SDNU Sibu akan mengadakan rundingan dengan Pejabat Kraftangan Malaysia Sarawak bagi membantu mereka yang mempunyai kemahiran tersebut.
“Produk yang kami kenal pasti ialah ukiran Iban yang mempunyai keunikan tersendiri.
“Justeru, SDNU Sibu sebelum ini menganjurkan Pertandingan Mengukir Terabai (perisai) sebagai projek perintis memulakan usaha tersebut,” katanya di sini.
Tengku yang juga setiausaha politik Ketua Menteri berkata, dengan kerjasama serta sokongan Pejabat Kraftangan Malaysia Sarawak, mereka yang memiliki kemahiran akan sentiasa dibantu dari segi pemberian elaun bagi membolehkan mereka menjadi tenaga pengajar, membantu dari segi pasaran serta pelbagai perkara berkaitan.
Katanya, beliau akan menjemput kakitangan daripada pejabat tersebut menjadi juri bagi memilih pemenang dalam Pertandingan Mengukir Terabai kelak.
Beliau turut memberi contoh kepada seorang yang mahir membuat parang ilang di sini iaitu Johnny Berangan dari Rumah Singgai, Pasai Bon, Batu 16 di sini cukup dikenali ramai dengan hasil kraf tangannya.
“SDNU Sibu bersama wakil pejabat tersebut melawat pusat pembuatan ilang di rumah panjang Johnny dan kami kagum dengan kemahirannya.
“Kami berharap Johnny dapat menunjukkan cara-cara pembuatan ilang kepada kami dan Pejabat Kraftangan Malaysia Sarawak nanti.
“Selain itu, kami akan membantu Johnny mencari pasaran ilang agar lebih banyak ilang dapat dihasilkan bagi mengangkat sektor kraf tangan Iban,” tegasnya.
Sehubungan itu, Tengku memberitahu bahawa SDNU Sibu turut bekerjasama dengan Dayak Cultural Foundation (DCF) dan Tun Jugah Foundation (TJF) dalam memartabatkan seni kraf tangan pua kumbu.
Menurutnya, sudah tiba masanya hasil kraf tangan Iban dilonjakkan ke peringkat lebih tinggi sekali gus dapat membantu memberi manfaat kepada mereka yang mahir serta mempunyai kepakaran.
“Ramai masyarakat Iban di rumah panjang mempunyai kemahiran menenun kain pua kumbu.
“Justeru, kami akan bekerjasama dengan DCF dan TJF bagi mencari langkah melariskan atau mempopularkan kain tenun pua kumbu yang boleh menjana pendapatan.
“Ini juga dapat mempertahankan seni warisan kita bagi diwarisi generasi baharu agar tidak ditelan zaman,” katanya.
Tengku dan wakil Pejabat Kraftangan Malaysia Sarawak Haironi Bohari sambil diiringi ahli-ahli SDNU Sibu mengadakan kunjungan ke pusat pembuatan parang ilang Johnny di rumah panjangnya minggu lalu.