SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat memohon tuai rumah agar menyebarkan maklumat mengenai kebaikan pelaksanaan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada penduduk rumah panjang.
Menurutnya, tindakan itu penting agar masyarakat rumah panjang memahami tujuan pelaksanaan GST yang dilihat boleh memakmurkan pembangunan negara pada masa akan datang.
Sebanyak 160 negara mengamalkan GST ketika ini bagi menambah hasil pendapatan negara yang seterusnya boleh diguna bagi tujuan meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Saya memohon kepada para tuai rumah agar menyebar kebaikan pelaksanaan GST kepada masyarakat rumah panjang agar tidak mudah dipengaruhi hasutan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya pada Program MEMBARA Gotong-Royong anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas Sarawak (JASA) Bahagian Sri Aman di St Mark Chapel, Sungai Pinang, Simunjan semalam.
Seramai 60 penduduk Kampung Sungai Pinang dan Sungai Sega di Simunjan bekerjasama membersihkan St Mark Chapel pada program tersebut.
Masir turut menyampaikan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan St Mark Chapel, Sungai Pinang, Simunjan.