KUCHING: Perasaan risau seorang wanita menyimpan wang sebanyak RM4,500 di dalam beg tangannya rupa-rupanya petanda buruk setelah dirompak sekumpulan lelaki berdekatan Taman Samarindah, malam kelmarin.
Mangsa yang berusia sekitar 20-an memberitahu, awal hari tersebut dia bersama suaminya mengeluarkan wang berkenaan dari sebuah bank di Kota Sentosa sekitar jam 10 pagi.
Sejurus selesai urusan di bank berkenaan, mangsa mengesyaki mereka diekori oleh seseorang, namun mengabaikan perasaan tersebut sehingga tiba di rumah mereka di Kota Samarahan.
“Saya dapat rasakan memang ada (orang) mengekori kami, tapi saya cuma anggap ia sebagai mainan perasaan saya sahaja sehingga tiba di rumah dan perasaan takut itu semakin kuat.
“Saya kemudian mengajak suami saya pergi memasukkan semula wang tersebut ke dalam bank, namun dia sibuk menyebabkan saya terpaksa pergi seorang diri malam tadi (malam kelmarin),” ujarnya.
Bagaimanapun, menurutnya, ketika tiba berdekatan Taman Samarindah, sebuah kereta Pajero memintas keretanya dan terus berhenti untuk menghalang laluannya.
“Sebuah lagi kereta jenis Proton Wira berhenti di belakang saya dan ketika itu, dua lelaki tidak dikenali keluar dari kereta Wira berkenaan dan terus menarik saya keluar dari dalam kereta.
“Seorang daripadanya kemudian mengambil beg tangan saya dan mengeluarkan wang tunai berjumlah RM4,500 tersebut,” kata mangsa.
Menurutnya, kedua-dua suspek kemudian terus beredar dari tempat kejadian.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di pergelangan tangan akibat terkena senjata tajam yang digunakan suspek semasa kejadian tersebut.
Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat oleh mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan.