LIMBANG: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Limbang menetapkan harga maksimum borong dan runcit bagi 12 jenis barang kawalan untuk dikuatkuasakan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2013 bagi daerah Limbang dan Lawas bermula Isnin, 23 Disember ini.
Wakil Ketua Cawangan PPDNKK Bahagian Limbang, Wendy Dasu berkata Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) selama lima hari itu bermula 23 hingga 27 Disember depan.
Menurutnya, barangan kawalan tersebut ialah ayam hidup (RM8.70 sekilogram), ayam standard (RM11 sekilogram), ayam super (RM11.50 sekilogram) dan ayam belanda import (RM32 sekilogram).
“Harga barangan lain ialah daging kambing tempatan bertulang (RM32 sekilogram), daging kambing biri-biri import bertulang (RM22 sekilogram), daging kambing biri-biri import tanpa tulang (RM38 sekilogram),” katanya di sini semalam.
Barangan lain termasuk telur ayam gred A (0.41 sen sebiji), gred B (0.40 sen sebiji), gred C (0.39 sen sebiji), tomato (RM6 sekilogram) dan lada bengala hijau (RM13 sekilogram).
Beliau berkata, setiap peniaga wajib menjual harga terkawal tidak melebihi harga maksimum serta meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi membezakan barang harga terkawal dengan barangan lain.
“Setiap peniaga juga perlu meletakkan harga atau senarai harga ke atas barangan yang dijual,” ujarnya.
Katanya, KPDNKK tidak akan bertolak ansur dalam hal tersebut dan mereka yang tidak mengikut peraturan akan dikenakan tindakan tegas oleh anggota penguatkuasaan yang menjalankan pemantauan di sekitar bangunan tamu dan premis perniagaan.