MIRI: Menggalas cabaran sebagai seorang wakil rakyat untuk membawa pembangunan ke kawasan pedalaman diakui bukan satu tugas mudah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, pelbagai rintangan harus ditempuhi dan apa yang penting adalah sokongan daripada pelbagai pihak.
“Bukan satu tugas mudah menjadi wakil rakyat di pedalaman terutama jika bercakap tentang hendak membawa pembangunan,” katanya pada Majlis Makan Malam Pra Krismas anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat Telang Usan di sini, malam kelmarin.
Menurutnya, sudah tentu beliau memerlukan sokongan daripada segenap lapisan masyarakat untuk menjayakan agenda yang bakal merubah landskap kawasan itu.
“Kita amat memerlukan kerjasama semua pihak baik daripada ketua-ketua masyarakat, ahli-ahli jawatankuasa kampung dan persatuan malah setiap penduduk di Baram,” jelasnya.
Ini kerana, beliau suka menyifatkan tugas itu sebagai tanggungjawab bersama kerana akhirnya adalah sesuatu yang amat berbaloi.
Pada masa sama, Dennis meletakkan harapan tinggi bahawa idea pembangunan kawasan Telang Usan oleh kerajaan negeri membawa kepada manfaat bakal wujud dengan program yang wajar disokong.
“Sebut apa sahaja peluang termasuk ekonomi, pekerjaan dan beberapa lagi sektor yang bakal wujud seiring dengan Bandar Baharu Telang Usan nanti, semuanya untuk kebaikan dan dinikmati bersama oleh rakyat,” ujar beliau.
Majlis sama turut menyaksikan penyerahan geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada beberapa persatuan untuk menjayakan aktiviti-aktiviti tahunan.
Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Robert Laing Anyi, Residen Bahagian Miri Antonio Kahti Galis, ketua-ketua masyarakat Baram iaitu Pemanca Elizabeth Deng, Temenggung Pahang Ding dan Datuk Temenggung Hassan Sui.