Lima orang dipilih daripada setiap 26 rumah panjang di DUN Nangka, kata Dr Annuar
SIBU: Seramai lima orang sukarelawan dipilih daripada setiap 26 rumah panjang di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka bagi dilatih teknik asas mencegah kebakaran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee berkata dengan memperkenal langkah sedemikian sedikit sebanyak dapat menyelamatkan rumah panjang daripada terus mengalami kes-kes kebakaran.
“Latihan itu dirancang akan diadakan pada Jun akan datang. Mereka akan dilatih kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan ke tiga rumah panjang di konstituensinya sempena Pra-Gawai di Rumah Johnny Suan, Rumah John Lalong dan Rumah Asing Sanyut yang masing-masing terletak di Jalan Teku, di sini kelmarin.
Turut mengiringinya Penyelia Kanan KEMAS Parlimen Sibu Abang Muhammad Abang Jess dan Kaunselor Ibrahim Laili.
Sementara itu, Dr Annuar berkata hanya sembilan rumah panjang daripada 26 rumah panjang di kawasannya sudah mempunyai pili bomba.
“Saya akan membawa perkara ini kepada pihak bomba dan mengadakan perbincangan dengan mereka bagi membina lebih banyak pili bomba di rumah-rumah panjang di DUN Nangka,” jelasnya.
Beliau berkata, rumah panjang yang sudah mempunyai bekalan air paip mungkin tidak mempunyai masalah untuk dipasang pili bomba.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa gelanggang sepak takraw akan dibina di ketiga-tiga rumah panjang tersebut.
“Projek pembinaan gelanggang itu akan mula dilaksanakan dalam masa sebulan atau dua bulan akan datang,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau berkata kemudahan sukan itu turut dirancang untuk rumah-rumah panjang yang lain.
Ini katanya, akan memudahkan para belia tempatan untuk bersukan sekali gus dapat menghindari mereka terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat.
Menyentuh mengenai lampu jalan yang diminta oleh penduduk di rumah panjang yang dilawatinya itu, beliau berkata mereka akan mencari dana untuk mendirikannya.