SIBU: Penyertaan ibu bapa dalam pelaksanaan sistem Persekitaran Pembelajaran Maya Frog atau lebih dikenali sebagai Frog VLE (Virtual Learning Environment) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rosli Dhoby amat digalakkan.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Rosli Dhoby Kaunselor Dr Ali Puji berkata Frog VLE adalah satu sistem pembelajaran berdasarkan jaringan pembelanjaran dunia sebenar mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya.
Berucap ketika mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Rosli Dhoby semalam, Dr Ali berkata menerusi Frog VLE dan sambungan Internet 4G, pendidikan dapat dilaksanakan di mana jua, pada bila-bila masa melalui Frog VLE yang berasaskan ‘cloud’.
“Sebagai contoh, guru dapat memberi tugasan, ujian dan menyemak tugasan secara maya, sementara pelajar dapat menghantar tugasan serta menyemak markah menerusi Frog VLE.
“Dengan ini, pembelajaran boleh dilaksanakan di mana-mana sahaja, di sekolah atau di rumah, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu,” katanya sambil menambah Frog VLE boleh diakses di mana juga pada bila-bila masa dengan sambungan Internet.
Katanya melalui Frog VLE, ibu bapa dapat berkomunikasi dengan pihak sekolah dan pentadbir sekolah dapat menguruskan kalendar sekolah serta menghebahkan notis sekolah melalui Internet.
“Justeru, kita amat menggalakkan penyertaan ibu bapa dalam sistem Frog VLE ini yang diyakini mampu memperkasa pengurusan sekolah serta pembangunan pendidikan di sekolah.
“Untuk mengakes sistem Frog VLE, ibu bapa perlu berhubung dengan pihak sekolah atau melayari laman web www.smkrd.edu.my,” ujarnya.
Sistem Frog VLE mula dilancarkan pada Mac 2012 dan dijalankan secara berperingkat di semua sekolah seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Dr Ali turut menggesa semua pihak termasuk pengurusan sekolah dan ibu bapa supaya bersama-sama mengutamakan aspek keselamatan pelajar.
“Aspek keselamatan pelajar perlu dititikberatkan terutama ketika menghantar dan menjemput mereka pulang selepas sesi persekolahan tamat.
“Kita tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku,” jelasnya.
Hadir sama Naib Yang Dipertua 1 PIBG SMK Rosli Dhoby, Nyandang Seli dan Pengetua SMK Rosli Dhoby Tan Tie Muan.