MIRI: Pendidikan dilihat mampu meningkat dan membangunkan personaliti serta kemahiran selepas graduan tamat pengajian dan membantu menyerlahkan potensi mereka.
Pengerusi Majlis Curtin Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata graduan perlu menjadikan kejayaan pendidikan sebagai medan menyumbang sesuatu kepada masyarakat dan ekonomi negara masing-masing.
“Kajian menunjukkan pendidikan mampu menjadikan seseorang itu lebih berdikari, meningkatkan kesedaran sivik dan mengurangkan gejala jenayah serta menyumbang terhadap budaya masyarakat.
“Bahkan pendidikan turut dilihat sebagai elemen dan pelaburan penting kerajaan dan individu untuk manfaat yang dapat dinikmati bersama,” katanya pada Majlis Graduasi Fakulti Perniagaan, Fakulti Kejuruteraan dan Sains di Pusat Rekreasi dan Acara Curtin Sarawak, di sini semalam.
Hadir sama Menteri Muda Perhubungan merangkap Pengerusi Lembaga Pengurusan Curtin Sarawak Datuk Lee Kim Shin, Pemangku Cancelor Curtin University Sue Wilson, Naib Canselor Curtin University Profesor Deborah Terry, Ketua Eksekutif merangkap Pro Naib Canselor Curtin Sarawak Profesor Jim Mienczakowski dan Pengerusi Curtin (Malaysia) Datu Dr Hatta Solhi.
Menurut Dr Chan, Curtin Sarawak dikenali sebagai sebuah institusi pengajian yang mementingkan nilai tinggi khususnya dalam memberi pendidikan serta melahirkan graduan berkebolehan dan menghargai kepelbagaian budaya di sini.
Katanya Curtin terus komited meningkatkan kualiti program serta penyelidikan bagi memastikan para graduannya mempunyai kemahiran bersesuaian dengan kehendak pasaran di sini dan dunia.
“Saya yakin walaupun di mana anda (graduan) berada di luar sana dalam apa juga bidang diceburi kelak, anda akan terus menjadi contoh graduan yang berkebolehan dilahirkan di sini.
“Graduan juga perlu yakin memainkan peranan dalam menyumbang sesuatu kepada bangsa dan negara khususnya dalam industri pekerjaan nanti,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan graduan bahawa penganugerahan itu bukan titik noktah perjuangan dan segala usaha selesai, tetapi jadikan sebagai langkah permulaan kepada seribu langkah mencipta lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan pada masa akan datang.
Seramai 510 graduan Curtin Sarawak menerima anugerah masing-masing yang turut disaksikan oleh ibu bapa serta ahli keluarga mereka.
Antara penerima daripada Fakulti Perniagaan merangkumi Sarjana Muda Seni, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Sarjana Muda Perdagangan, Sarjana Akaun, Sarjana Sains Polisi dan program Sarjana Sains (Pengurusan Projek) dan Doktor Falsafah (PhD).
Fakulti Kejuruteraan dan Sains pula merangkumi Sarjana Muda Kejuruteraan, Sarjana Muda Sains (Geologi Gunaan), Sarjana Muda Teknologi (Sistem Komputer dan Jaringan), Sarjana (Kejuruteraan Elektrik dan Komputer, Kejuruteraan Mekanikal dan Sains Komputer) dan Sarjana Kejuruteraan Sains (Kejuruteraan Elektrik).
Manakala 91 graduan daripada Fakulti Pengajian Lanjutan merangkumi pelajar Diploma Perniagaan, Diploma Kejuruteraan, Diploma Kesihatan dan Keselamatan dan Diploma Teknologi dengan kerjasama Australia’s Central Gippsland Institute of TAFE (GippsTAFE) turut menerima anugerah pada sebelah petang.
Graduan juga diraikan pada Majlis Makan Malam Alumni yang dihadiri majlis alumni universiti pada sebelah malam di Musical Corridor, Eastwood Valley Golf & Country Club di sini.