KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menyasar 10,000 tandatangan orang ramai di sekitar bandar raya ini bagi menjayakan Kempen Tandatangan bermula awal minggu depan.
Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata, kempen tersebut dilancar bagi mengumpul maklum balas orang ramai berhubung isu perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat pembekal tenaga elektrik Sarawak Energy Berhad (SEB).
Beliau berkata, ia sebagai tindakan susulan berikutan aduan diterima yang menjurus kepada rasa tidak puas hati pelanggan SEB ber-kenaan perkhidmatan yang ditawarkan.
“Kami (DAP) menyasarkan 10,000 maklum balas daripada orang ramai di sekitar bandar raya ini sebagai sokongan untuk tindakan DAP yang seterusnya.
“Kempen ini mempu-nyai tiga tujuan utama iaitu meminta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SEB untuk meletak jawatan, pengura-ngan tarif yang dikenakan bagi bekalan elektrik atau meminta SEB untuk memperkasa perkhidmatan yang ditawarkan bagi mengelak kejadian bekalan elektrik terputus (blackout) yang kerap berlaku di sekitar bandar raya,” ujarnya.
Beliau berkata, penganjuran kempen itu hasil kata sepakat selepas aduan bekalan elektrik terputus selama 33 jam bermula jam 2 pagi, 5 Disember hingga 11.41 pagi semalam di Kota Sentosa.
Selain itu, menurut Chong, beberapa kawasan lain di se-kitarnya turut terjejas dengan bekalan elektrik terputus selama beberapa jam akibat dari kerosakan kabel elektrik.
“Lebih daripada 10 rumah kedai di Kota Sentosa terjejas dalam bekalan elektrik terputus dan beberapa unit rumah di Olive Garden berdekatan juga mengalami masalah yang sama.
“Kalau ia terputus selama beberapa jam, ia agak normal tapi bekalan terputus lebih daripada satu hari iaitu 33 jam, bagi saya ia sudah melampau,” katanya ketika ditemui pada sidang media bersama wakil peniaga di pasar Kota Sentosa, semalam.
Justeru, DAP mengambil langkah pendekatan dengan memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersuara di samping menyatakan rasa tidak puas hati dengan perkhidmatan SEB yang disifatkannya sebagai agak lemah.
Hadir sama pada sidang media itu ialah wakil peniaga Kota Sentosa Thian Joon Fah.