KUCHING: Dua lelaki dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat kecederaan yang dialami oleh mereka selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya pagi semalam.
Kedua-dua mangsa yang berusia 17 dan 18 tahun itu semasa kejadian dikatakan menaiki sebuah motosikal menuju ke pusat bandar raya dari pekan Serian sekitar jam 10 pagi.
Ketika tiba di Batu 11 Jalan Kuching-Serian, mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh sebuah kereta yang meluru masuk ke simpang sebuah pasar raya di situ.
Ekoran itu, kedua-dua mangsa dikatakan terpelanting dari atas motosikal berkenaan di mana seorang daripada mereka dikhuatiri mengalami patah tulang kaki kanan dan seorang lagi retak tulang jari tangan.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut segera membantu mangsa sementara menunggu ketibaan anggota paramedik.
Mangsa yang cedera itu kemudian dikejarkan ke HUS dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara pemandu dan penumpang kereta tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.