KUCHING: Sanggup diheret beberapa meter demi mempertahankan beg tangan daripada diragut menyebabkan seorang wanita cedera di kaki, tangan dan bahunya awal pagi semalam.
Insiden dilaporkan berlaku di hadapan Plaza Song di sini ketika mangsa berusia awal 20-an berjalan seorang diri menuju ke arah keretanya sekitar jam 2 pagi.
Difahamkan, mangsa didatangi seorang lelaki menunggang motosikal yang kemudian dikatakan bertindak meragut beg tangan mangsa.
“Mangsa enggan melepaskan beg tangannya menyebabkan dia diheret beberapa meter dari tempat kejadian sebelum suspek terpaksa melepaskan beg tangan tersebut dan terus memecut laju meninggalkan kawasan berkenaan.
“Ekoran itu, mangsa yang mengalami kecederaan di kaki, tangan dan bahunya dikejarkan rakannya yang bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai insiden tersebut ke hospital berdekatan untuk rawatan,” kata sumber.
Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pagi semalam.
Sementara itu dalam satu kejadian berasingan, seorang wanita warga emas juga tampil membuat laporan polis selepas diragut seorang lelaki di Padungan di sini, pagi semalam.
Mangsa semasa kejadian dikatakan baharu selesai membeli-belah di sebuah pasar raya berdekatan dan berjalan seorang diri menuju ke arah keretanya sekitar jam 11 pagi.
Difahamkan, seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal bertindak meragut beg tangan mangsa dari arah belakang dan terus memecut laju dari tempat kejadian.
Antara yang terkandung di dalam beg tangan mangsa ialah sedikit wang tunai dan beberapa dokumen peribadi.
Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan.