SIBU: Lapan kaunselor belia wanita antara 30 kaunselor belia bakal membarisi Majlis Belia Sibu (SYC) yang akan mengangkat sumpah pada 13 April ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Datuk Andrew Wong berkata, seramai 370 permohonan diterima sejak bulan lalu.
“Seramai 30 calon layak terpilih menyertai SYC yang pertama kali ditubuhkan di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti dan MPS.
“SYC dilaksanakan di bawah inisiatif ‘People First’ MPS untuk mengiktiraf golongan belia di Sibu dengan melibatkan diri secara langsung dalam membuat keputusan dan proses perancangan,” katanya.
Beliau berkata, majlis angkat sumpah disaksikan oleh Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti, Dato Sri Wong Soon Koh.
Ketika ditemui pada sidang media di bilik mesyuarat MPS kelmarin, Wong memberitahu, SYC turut akan dilaksanakan mengikut struktur pentadbiran MPS.
“Ahli majlis belia atau kaunselor belia akan membantu MPS dalam perundingan di kalangan belia, membincangkan isu-isu belia dan menyediakan maklumat kepada MPS.
“Kaunselor belia turut membantu memberi pandangan berkaitan dengan kesihatan awam, pembangunan komuniti, perbandaran dan pembangunan ekonomi,” ujar beliau.
Wong percaya menerusi jalinan kerjasama itu, komuniti belia akan mempunyai suara yang padu memastikan pandangan mereka dapat diterima dalam pertimbangan membuat keputusan.
“MPS yakin menerusi SYC, polisi kerajaan tempatan mendapat impak signifikan kepada golongan belia dalam memberikan sumbangan bermakna kepada pembangunan negara,” katanya.
Orang ramai khususnya golongan belia yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang SYC, sila layari laman sesawang www.sibuyouthcouncil.org atau Facebook dengan menaip Sibu Youth Council.