Tangani peningkatan kes demam denggi, tingkat kesedaran orang ramai mengenai bahaya penyakit ini
LAWAS : Sarang pembiakan nyamuk aedes akan digempur habis-habisan dalam usaha menangani peningkatan kes demam denggi selain meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya penyakit denggi.
Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim berkata beberapa lokasi dikenal pasti di daerah ini untuk penganjuran Program Banteras Denggi dalam usaha menjaga kebersihan setempat bagi mengelak kejadian kes denggi.
Beliau berkata semua pihak perlu menggembleng tenaga dan usaha berterusan selain mengambil tindakan pantas dengan menjaga kebersihan bagi menangani wabah denggi.
“Kawasan-kawasan yang berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes perlu dibersihkan khususnya kawasan dan peralatan yang mudah menakung air.
“Kita tidak mahu penyakit denggi menjadi masalah serius jika tidak ditangani segera, oleh itu kerjasama semua pihak amat diperlukan,” katanya pada Program Banteras Denggi di Kampung Pemukat Kuala Lawas di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Panel Klinik Kesihatan Kuala Lawas Matamin Ahmad, Penghulu Ali Hassan Durahman, Ketua Kampung Pemukat Abdul Kadir Akop, Kaunselor Mohen Mohamad dan jemputan lain.
Selain Kampung Pemukat Kuala Lawas, program tersebut turut disertai penduduk kampung dari Noor Islam dan Kampung Dato Kuala Lawas.
Hussaini menjelaskan lagi, aktiviti kempen kesedaran untuk membersihkan tempat tinggal penting dan memerlukan penyertaan serta penglibatan aktif seluruh masyarakat.
Katanya kempen tersebut bertujuan menyedarkan orang ramai akan kepentingan kebersihan kawasan sekitar agar bebas daripada apa jua cara yang membolehkan pembiakan nyamuk aedes.
Beliau turut menggesa orang ramai agar meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk membersihkan kediaman masing-masing bagi memastikan ia bebas daripada nyamuk aedes.
“Masih ramai penduduk yang tidak sedar dan faham mengenai pembiakan nyamuk aedes yang boleh membunuh secara senyap.
“Penglibatan aktif masyarakat diharap mampu memainkan peranan bersama-sama Pejabat Kesihatan Daerah bagi memastikan kawasan ini bebas wabak denggi,” katanya.
Jelasnya program pembanterasan nyamuk aedes perlu diperluaskan bukan saja melalui risalah tetapi juga aktiviti gotong-royong bersama masyarakat.