SIBU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberi penerangan dan penjelasan mengenai pertubuhan terbabit kepada penduduk luar bandar di seluruh kawasan Selangau.
Pengurus PERKESO Cawangan Sibu, Dundang Undong berkata, pihaknya turun padang bagi memberi penjelasan berhubung fungsi dan peranan PERKESO kepada masyarakat di seluruh kawasan Selangau.
“Kita telah pergi ke rumah-rumah panjang di Skim Penempatan Semula Sekuau, Stapang, Sungai Anap dan sebagainya,” katanya pada sesi soal jawab program PERKESO Bersama Pemimpin Masyarakat, semalam.
Dundang berkata demikian ketika menjawab mengenai cadangan Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Pasang Ngelambai mencadangkan agar PERKESO manjalankan program sama untuk masyarakat di luar bandar.
Menurut Pasang, program penerangan seumpama amat berguna bagi memberi penerangan dan penjelasan kepada masyarakat luar bandar khususnya penduduk rumah panjang.
Beliau juga mencadangkan agar PERKESO bekerjasama dengan MDLBS bagi tujuan tersebut untuk faedah semua pihak dalam menyalurkan maklumat berguna kepada penduduk di pedalaman.
Menurut Dundang, selepas ini PERKESO akan menjelajah seluruh kawasan dan rumah panjang di daerah Sibu dan Kanowit.
Program PERKESO Bersama Pemimpin Masyarakat itu antara lain bertujuan menyampaikan maklumat kepada masyarakat terutamanya kepada pemimpin-pemimpin masyarakat.
Majlis penutupan disempurnakan Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Sibu, Cesseylia Benet mewakili Residen Sibu.
Hadir sama Temenggung Adrian Ringgau, ketua-ketua masyarakat dan lain-lain.