SIBU: Seorang lelaki dan tiga wanita warga Indonesia termasuk seorang penghibur wanita ditahan kerana menyalahi peraturan Akta Imigresen dalam satu operasi serbuan di sebuah pusat hiburan di tingkat satu di Jalan Ramin, di sini semalam.
Penghibur wanita berumur 31 tahun tersebut ditahan kerana melakukan kesalahan duduk dan minum bersama pelanggan serta menyalah guna pas lawatan sosial di bawah Peraturan 39B, Peraturan-peraturan Imigresen.
Seorang lagi wanita berumur 37 tahun ditahan kerana pas lawatan sosial tamat tempoh, manakala seorang lelaki berumur 25 tahun dan seorang wanita berumur 18 tahun, semua warga Indonesia gagal menunjukkan pasport atau dokumen perjalanan yang sah.
Semua mereka yang ditahan diarah menjalani ujian saringan air kencing secara rambang oleh Cawangan Narkotik namun semuanya didapati negatif dan dibebaskan.
Operasi serbuan bersama pasukan D7 dan Narkotik pada jam 12.45 tengah malam itu turut menyaksikan 22 orang (tujuh lelaki dan 15 wanita) diperiksa termasuk 12 warga tempatan dan selebihnya warga Indonesia.