SIBU: Seorang konduktor wanita tidak sedarkan diri selepas dia tercampak keluar dari bas ketika sedang bergerak berdekatan Pintu Gerbang Sibu, di sini pagi semalam.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi, mangsa yang dikenali Rumi Minggo, 54, dikatakan berdiri di tepi pintu masuk bas berkenaan apabila tiba-tiba tercampak keluar dan terjatuh ke jalan raya.
Difahamkan mangsa yang bekerja lebih 20 tahun dengan syarikat bas terbabit dan berasal dari Engkalat mengalami kecederaan di bahagian kepala dan cedera di bahu dan kaki.
Mangsa dihantar ke sebuah pusat perubatan swasta jam 9.15 pagi dan dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.
Abang sulung mangsa yang membuat laporan polis berkata, dia hanya dimaklumkan mengenai insiden itu oleh seorang lagi abang mangsa yang bekerja sebagai pemandu bas yang kini sedang berada di Kuching.
“Saya terkejut dengan kecelakaan yang menimpa adik saya dan hairan apa sebab pintu bas itu tidak ditutup semasa sedang bergerak,” katanya.
Katanya adiknya masih berada dalam keadaan tidak sedarkan diri semasa mereka pergi melawatnya di Hospital Sibu pagi semalam.