SARIKEI: Pendaftaran mencecah lebih 2,000 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan matlamat berpersatuan dengan berorientasikan kebajikan, kebudayaan dan politik menggambarkan kepercayaan masyarakat negeri bahawa kerja berpasukan lebih memberi impak positif.
Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata usaha itu juga menghasilkan kerja lebih berkualiti terutama melalui gabungan pendapat dan fikiran daripada ramai pihak yang digabungkan menjadi satu bagi mencapai keputusan terbaik.
“Dalam memberi sokongan penuh kepada perkara tersebut, kerajaan menyediakan peruntukan berterusan kepada NGO di negeri ini.
“Peruntukan disalurkan mengikut pecahan dan keperluan setiap NGO berkenaan.
“Semua NGO berperanan penting menggerakkan aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi.
“Justeru, kerajaan sentiasa membantu dan disalurkan kepada NGO yang mempunyai rekod penganjuran aktiviti baik dan pengurusan kewangan teratur.
“Usaha ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti lebih sihat,” katanya pada Majlis Perasmian Skuad Sayang Repok, Meradong dan Belawai di sini petang kelmarin.
Majlis berlangsung di Dewan Suarah Sarikei itu dihadiri 200 orang terdiri daripada perwakilan NGO dan ahli-ahli parti politik.
Fatimah berkata, Skuad Sayang tidak harus tertumpu kepada aktiviti kebajikan dan masyarakat sebaliknya diperluaskan peranannya sebagai medium penyebar maklumat kepada rakyat.
“Langkah itu secara tidak langsung membantu menepis fitnah serta tohmahan pihak tidak bertanggungjawab terhadap para pemimpin negara dan kerajaan.
“Ini kerana sikap berdiam diri hanya melemahkan parti,” katanya.
Beliau berkata komitmen serta dedikasi tinggi ditunjukkan Skuad Sayang merupakan sebab utama rakyat terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian lalu.
Katanya, sejak ditubuhkan, Skuad Sayang tanpa penat turun ke peringkat akar umbi membantu rakyat khususnya golongan sasar tanpa mengira parti.
Menurutnya apa yang membanggakan, Skuad Sayang sentiasa menjadi kumpulan pertama tiba dan menghulurkan bantuan sekiranya ada rakyat ditimpa musibah atau kesusahan.
“Jadi, dengan kekuatan yang ada pada Skuad Sayang kita mula membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri nanti.
“Saya berharap Skuad Sayang akan menjadi teras perjuangan wanita dalam membantu kejayaan BN,” katanya.
Fatimah juga berkata peruntukan berterusan kepada NGO di negeri ini membuktikan kesungguhan kerajaan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti sihat.
“Kita di Sarawak bersatu sejak sekian lama. Ini membuktikan kejayaan pentadbiran kerajaan BN.
“Pada masa sama, kementerian saya terus mempergiat pelbagai program bagi memenuhi aspirasi rakyat pelbagai peringkat,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Kaunselor Dayang Raoyah Abang Adeng, isteri Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Norasyikin Ibrahim, Ketua Wanita Meradong Dayang Rajamah Adeng dan Saadi Semaon yang mewakili Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh.