KOTA SAMARAHAN: Seorang penunggang motosikal cedera parah di bahagian kepala selepas motosikalnya merempuh sebuah tiang lampu berhampiran Kampung Rembus, di sini.
Dalam kejadian jam 1 petang semalam, mangsa yang berumur 34 tahun dipercayai gagal mengawal motosikal ditunggangnya lalu terbabas melanggar tiang terbabit.
Mangsa yang pada awalnya dihantar ke Klinik Kesihatan Kota Samarahan untuk mendapatkan rawatan, dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi menerima rawatan lanjut di Zon Merah.
Dalam kes berasingan, seorang pekerja ladang ternakan ayam di Kampung Bunga di Jalan Kuching-Serian cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan, kelmarin.
Kemalangan itu dipercayai berlaku selepas mangsa habis kerja dan dalam perjalanan balik ke rumahnya di Kampung Ensenggei.
Isteri lelaki yang berumur 35 tahun itu bagaimanapun hanya mengetahui insiden tersebut sekitar jam 11 malam selepas dihubungi pihak Hospital Serian.
Lelaki itu dirujuk ke HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, seorang mangsa kemalangan dari Debak tiba di HUS untuk mendapatkan rawatan lanjut, sekitar jam 2 pagi semalam.
Mangsa yang sebelum itu menerima rawatan di Hospital Debak difahamkan terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke pasar Debak.