SIBU: Hari Terbuka Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) yang berlangsung di kampusnya di Pesiaran Brooke di sini mendapat sambutan meriah para pengunjung, semalam.
Program yang bermula jam 10 pagi hingga 4 petang itu diselitkan dengan pelbagai aktiviti bagi membolehkan orang ramai mengetahui lebih lanjut mengenai UCTS.
Menurut Pengurus Kanan UCTS (Pemasaran dan Korporat) Lu Yew King, penganjuran program bertujuan menerima pelajar baharu mendaftar mengikuti kursus asas yang ditawarkan di UCTS.
“Kursus asas dibuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sesi pengambilan pelajar dibuka April ini.
“Kursus asas ini memberi 100 peratus biasiswa kepada pemohon dengan satu syarat mereka perlu meneruskan pengajian peringkat ijazah di UCTS,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, sesi pengambilan pelajar mengikuti pengajian peringkat ijazah dibuka pada September depan.
UCTS menawarkan 11 pengajian ijazah iaitu Kejuruteraan Sivil, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Elektrikal, Elektrikal dan Elektronik, Teknologi Makanan, Seni Bina, Kajian Ukur Bahan (Quantity Survey), Pentabiran Perniagaan, Perakaunan, Sains Komputer (Jaringan) dan Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian).
Lu memberitahu, UCTS mendapat sokongan penuh kerajaan negeri dan memberi peluang kepada pelajar dari wilayah tengah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Yuran pengajian yang ditawarkan di UCTS adalah terendah berbanding universiti swasta dan kolej di Malaysia kerana UCTS mendapat sokongan penuh kerajaan negeri.
“Selain itu, UCTS turut menyediakan pinjaman PTPTN dan kemudahan asrama kepada pelajar melanjutkan pengajian di peringkat ijazah.
“UCTS juga mempunyai jaringan dengan universiti di Amerika Syarikat dan Jerman,” katanya.
Aktiviti sampingan lain sepanjang Hari Terbuka itu termasuk pameran dan jualan makanan, lawatan sekitar kampus UCTS, pertandingan fotografi, cabutan bertuah, pemeriksaan kesihatan dan kempen derma darah.