Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Inkubator bantu belia hasilkan produk baharu

$
0
0

KUCHING: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) akan mewujudkan inkubator untuk membantu golongan belia menghasilkan produk baharu berdasarkan kreativiti masing-masing.

Presidennya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, beberapa belia dipilih untuk mengikuti projek perintis agar idea kreatif mereka dapat dipasarkan secara meluas.

Menurutnya, Sarawak mempunyai infrastruktur yang bersesuaian dengan pembangunan industri kreatif termasuk yang melibatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Kami akan mewujudkan inkubator untuk membolehkan golongan belia kreatif dapat mengetengahkan idea masing-masing bagi menghasilkan produk baharu.

“Mereka (golongan belia terpilih) akan dibantu usahawan yang berjaya dalam industri kreatif,” katanya kepada pemberita sempena Seminar Cabaran dan Peluang dalam Industri Kandungan Mudah Alih di sini, semalam.

Seminar itu dianjurkan SABERKAS dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata, bidang ICT bukan hanya melibatkan komputer sebaliknya ia mempunyai subsektor merangkumi pembangunan kandungan mudah alih.

“Kita boleh lihat ketika ini, kebanyakan individu yang membangunkan kandungan mudah alih mampu menjual produk masing-masing ke serata dunia,” ujarnya.

Malah katanya, SKMM dan Suruhanjaya Pembangunan Multimedia (MDec) menjalankan banyak program untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pembangunan kandungan mudah alih.

“Saya yakin kita di Sarawak mempunyai golongan belia berbakat dalam bidang ini namun mereka tidak tahu cara untuk mengetengahkan idea,” jelasnya.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata, SABERKAS mempunyai jawatankuasa khas iaitu sains, teknologi dan inovasi yang berperanan meneroka secara lebih mendalam bidang ICT.

Hadir sama Naib Presiden SABERKAS Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Agung SABERKAS Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengarah Jabatan Inisiatif Digital SKMM John Tay dan Timbalan Pengarah SKMM Sarawak Gidah Menon.

Sementara itu, penggunaan Internet yang semakin meningkat di Sarawak ketika ini menuntut Telekom Malaysia (TM) untuk mewujudkan lebih banyak infrastruktur bagi memenuhi keperluan semasa.

Abang Johari berkata, teknologi komunikasi berkembang pesat dan penyedia perkhidmatan perlu menambah kemudahan.

Menurutnya, perkhidmatan UniFi yang disediakan TM agak terhad dan kelajuan Internet agak perlahan.

“Biarpun teknologi TM berkembang pesat namun perkhidmatannya di negeri ini perlahan.

“Mungkin kita boleh menjalinkan kerjasama dengan Sacofa Sdn Bhd untuk membolehkan lebih banyak kemudahan diwujudkan,” katanya.

Abang Johari yang juga Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Sarawak (SABERKAS) menjelaskan, pertubuhan itu akan berbincang dengan Sacofa mengenai langkah untuk mewujudkan lebih banyak infrastruktur komunikasi di negeri ini.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>