
MANTAPKAN KELUARGA: Noriah (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Fatimah sebagai tanda penghargaan merasmikan penutupan Lab Pemantapan Institusi Keluarga 2014 bertempat di Wisma Wanita, Jalan Sultan Tengah di Kuching, semalam.
KUCHING: Pengukuhan institusi keluarga akan dijadikan sebagai salah satu daripada lima strategi utama Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga untuk tahun 2014.
Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata, keluarga merupakan satu unit asas paling kecil dalam sesebuah komuniti, namun berperanan penting dalam pembentukan sesebuah masyarakat yang sejahtera.
“Jika keluarga tidak sejahtera bagaimana sesebuah masyarakat atau komuniti itu boleh menjadi sejahtera dan negara menjadi maju?” ujarnya sambil menambah, institusi keluarga perlu dimantapkan bagi membentuk masyarakat dan negara yang sejahtera.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Lab Pemantapan Institusi Keluarga 2014 bertempat di Wisma Wanita, Jalan Sultan Tengah di sini semalam.
Fatimah berkata, pemantapan institusi keluarga amat perlu kerana statistik perceraian dan kelahiran luar nikah adalah agak membimbangkan.
“Bilangan ibu yang melahirkan anak luar nikah di hospital besar seperti Kuching, Sibu, Miri semakin bertambah begitu juga dengan kes bunuh diri kerana tekanan.
“Sebab itu, kementerian akan menjadikan pengukuhan institusi keluarga sebagai satu daripada lima strategi penting bagi tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, statistik Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) menunjukkan bilangan perceraian berdaftar bagi tahun 2011 adalah seramai 1,368 yang meningkat kepada 1,440 pada 2012 dan 2013 (1,739).
Bagi perceraian sivil Jabatan Bantuan Guaman Ku-ching, setakat Februari 2014 sebanyak 61 kes dicatatkan manakala pada tahun 2011, 2012 dan 2013 masing-ma-sing sebanyak 512, 633 dan 475 kes.
Bercakap mengenai program itu, ia merupakan anjuran Biro Wanita kementerian berkenaan dan bertujuan mendapatkan pandangan atau input mengenai punca dan cara penyelesaian isu tersebut daripada pelbagai pihak.
Dapatan atau input yang diperolehi dari bengkel itu akan digunakan sebagai cada-ngan atau saranan kepada kementerian berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
Turut hadir Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat, Menteri Muda Pembangunan Keluarga Rosey Yunus, Pengarah Biro Wanita Noriah Ahmad serta yang lain.