KUCHING: Seorang lelaki cacat penglihatan mengalami luka di mukanya selepas pe-rompak memecah masuk rumahnya dan mengugut untuk mencederakannya, ibunya yang menggunakan kerusi roda serta ibu saudaranya yang terlantar di atas katil.
Lelaki berusia 52 tahun tersebut yang tidak dapat melihat kira-kira setahun lalu disebabkan penyakit kencing manis berkata, insiden itu berlaku sekitar jam 11.30 pagi ketika dia mendengar berita menerusi televisyen di bilik tidur di rumahnya di Jalan Kempas.
Menurutnya, dia mende-ngar bunyi kuat yang datang dari bilik tamu dan turun ke bawah kerana bimbang ibu-nya yang dalam lingkungan usia 80-an dan hanya dapat menggunakan kerusi roda selepas dia mengalami serangan angin ahmar, terjatuh.
Bagaimanapun apabila dia tiba di bawah, seorang lelaki tidak dikenali mencengkam lengannya dan dalam dialek Hok-kien menuntut ditunjukkan tempat di mana barangan berharga disimpan di rumah itu.
“Saya segera memintanya untuk tidak mencederakan kami dan memberitahunya saya ada wang tunai sebanyak RM1,000 dalam bilik tidur saya.
“Saya juga dapat mendengar suara dua lelaki lain di dalam rumah, yang memberi amaran kepada ibu saya dan pembantu rumah kami yang berbangsa Filipina untuk tidak bising sebelum mengurung mereka dalam sebuah bilik,” kata pemilik rumah yang masih bujang itu.
Pembantu rumahnya kemudian memberitahu semua perompak memakai topi keledar dengan penutup muka dan bersenjatakan kayu.
Mangsa kemudian dipaksa naik ke atas ke bilik tidur utama dan disuruh duduk di sebelah ibu saudaranya yang berusia 95 tahun dan terlantar di atas katil sementara perompak menggeledah bilik dan mencuri sebuah beg yang mengandungi wang tunai, pasport mangsa, sijil beranak, kad kredit dan sebuah telefon bimbit.
Selain beg tersebut, perom-pak turut melarikan sebuah laci yang mengandungi beberapa barangan kemas milik ibu mangsa, selain pasport pembantu rumah.
Mangsa turut berkata, dia percaya lelaki-lelaki terbabit lari dengan menaiki kereta walaupun mereka memakai topi keledar kerana dia tidak mendengar bunyi motosikal.
Laporan polis mengenai insiden itu sudah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.