KUCHING: Seorang lelaki Indonesia dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku bersalah merogol seorang wanita senegaranya awal tahun ini.
Bertrus, 31, yang berasal dari Bengkayang, Kalimantan Barat mengaku bersalah merogol mangsa antara jam 10 dan 10.45 malam di sebuah rumah di Lorong 17, Kampung Semeba, Jalan Haji Baki di sini pada 19 Januari.
Hakim Nixon Kennedy Kumbong yang membicarakan kes mensabitkan kesalahan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.
Beliau turut mengarahkan hukuman penjara Bertrus berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 19 Januari.
Fakta ringkas kes menyatakan pada hari tersebut, pengadu yang juga mangsa telah dihantar pulang ke rumah ladang berkenaan bersama tertuduh.
Tertuduh bagaimanapun memaksanya memasuki sebuah bilik di mana kejadian rogol itu berlaku.
Bertrus yang tidak diwakili peguam bela, semalam memohon agar hukuman penjara dijalankan di negaranya sendiri tetapi ditolak oleh mahkamah.
Bertrus juga didakwa membunuh rakan senegaranya, yang juga suami kepada mangsa, Damok Lumpen, 27.
Semalam, pendakwa Raya memohon di Mahkamah Majistret agar kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 10.30 dan 11 pagi di rumah yang sama juga pada 19 Januari.
Dia akan dibicara di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.
Mangsa dikatakan ditemui berlumuran darah dengan kecederaan pada bahagian kepala, lengan dan badan di rumah tersebut oleh seorang lagi rakan serumah.
Tertuduh dikatakan lari dari tempat kejadian dengan menunggang motosikal dan ditangkap sehari kemudian di sebuah rumah di Skim Laruh, Gita.
Timbalan Pendakwa Raya Samira Khalil mewakili pihak pendakwaan bagi kedua-dua kes.