
CARA MAORI: Jabu dan Pita berlaga hidung yang merupakan budaya masyarakat Maori New Zealand pada Majlis Makan Malam Sarawak – New Zealand sempena Minggu New Zealand (NZWEEK) 2014 di Kuching, malam kelmarin. — Gambar Jeffery Mostapa
Sarawak, New Zealand diseru lebih agresif terokai pendidikan, ekonomi
KUCHING: Hubungan erat antara Sarawak dan New Zealand akan terus diperkukuhkan dalam usaha untuk mewujudkan lebih banyak peluang terutama dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu berkata, biarpun hubungan antara kedua-dua pihak sudah sedia terjalin, namun ia perlu dipertingkatkan untuk memastikan lebih banyak peluang pelbagai bidang dapat diwujudkan.
“Skop kerjasama antara kedua-dua pihak perlu terus dipertingkatkan untuk membolehkan peluang terutama dalam bidang pendidikan dan ekonomi dapat dirangka,” katanya.
Beliau berkata ketika berucap mewakili Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem pada Majlis Makan Malam Sarawak – New Zealand sempena Minggu New Zealand (NZWEEK) 2014 di sini, malam kelmarin.
Malah, menurutnya, peluang kerjasama antara kedua-dua pihak juga boleh diperluaskan dalam sektor lain merangkumi pelancongan, sosial dan program perkongsian budaya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabu menjelaskan, Sarawak ketika amat agresif dalam membangunkan industri berasaskan tenaga terutama melibatkan kuasa hidroelektrik.
“Usaha ini penting untuk memastikan lebih ramai pelabur asing berminat untuk menanam modal di negeri ini terutama di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Sarawak akan menjadi hab tenaga di rantau ini menjelang tahun 2030,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Sarawak juga berusaha untuk mempromosi ekopelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong tempatan dan asing berkunjung ke negeri ini.
“Ini kerana pada masa sekarang, trend pelancong asing lebih memilih kepada pelancongan berasaskan alam semula jadi,” jelasnya.
Selain itu, katanya, Sarawak merupakan antara negeri yang paling pesat membangun di Malaysia dengan kadar kemiskinan di negeri ini berjaya dikurangkan kepada empat peratus.
“Tempoh 30 tahun lepas, kadar kemiskinan di negeri ini mencecah 60 peratus manakala pendapatan per kapita juga dipertingkatkan daripada RM1,000 kepada RM40,000 setahun,” kata Jabu.
Hadir sama Menteri Hal Ehwal Maori New Zealand Dr Pita Sharples, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong serta Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani.