Quantcast
Channel: Berita Sarawak – BorneoPost Online | Borneo , Malaysia, Sarawak Daily News
Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859

Sarawak pelawa New Zealand sertai pembangunan modal insan

$
0
0

KUCHING: Sarawak membuka peluang kepada New Zealand untuk turut serta dalam pembangunan modal insan di negeri ini bagi menampung kekurangan tenaga kerja mahir yang diperlukan dalam pelbagai bentuk industri.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI), Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg berkata peluang pelaburan dan perniagaan terbentang luas di negeri ini untuk para pelabur dan ahli perniagaan dari dalam dan luar negara.

Bermula dari pasaran berasaskan komoditi, minyak, gas, sumber semula jadi dan biodiversiti serta pelancongan, Sarawak turut menawarkan peluang pelaburan dalam pembangunan modal insan menerusi pendidikan, katanya.

“Sarawak ketika ini berdepan kekurangan tenaga kerja mahir dan teknikal bagi menampung permintaan yang tinggi dalam pelbagai sektor industri yang tumbuh bagai cendawan di negeri ini.

“Saya percaya ini salah satu bidang yang boleh dibantu oleh New Zealand dengan menyediakan tenaga-tenaga kerja yang diperlukan menerusi latihan dan pendidikan yang diiktiraf di peringkat global,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian dalam taklimatnya mengenai peluang-peluang perniagaan di Sarawak pada program ‘Business Matching’ sempena Minggu New Zealand (NZWEEK) 2014 di Hotel Hilton di sini, semalam.

Sehubungan program itu, Abdul Karim berharap akan ada pertimbangan dan perbincangan serius antara New Zealand dan Malaysia khasnya Sarawak pada masa akan datang terutama dalam latihan modal insan.

Ini kerana, menurut beliau, Sarawak ketika ini sudah mempunyai dua universiti dari Australia iaitu Univesiti Teknologi Swinburne dan Curtin University dan ini adalah peluang baik untuk New Zealand turut melabur dalam bidang pendidikan.

Dalam pada itu Menteri Hal Ehwal Maori, New Zealand, Dr Pita Sharples yang mengetuai misi perdagangan negara berkenaan ke Malaysia sempena NZWEEK mengajak para delegasi untuk mewujudkan kepercayaan antara kedua-dua negara bagi membolehkan kerjasama perdagangan dimeterai.

“Kedatangan kita ke Malaysia hari ini merupakan satu peluang untuk kita membuktikan kesungguhan dan keikhlasan kita untuk menjalinkan kerjasama yang erat dengan rakan-rakan kita di negeri ini terutama alam bidang ekonomi.

“Justeru, saya berharap agar semua delegasi yang hadir pada malam ini akan menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya berkenalan, bertukar kad dan maklumat perniagaan bagi membolehkan kerjasama dijalinkan pada masa akan datang,” katanya.

Seramai 30 delegasi yang terdiri daripada ahli-ahli perniagaan dari pelbagai organisasi yang berpangkalan di New Zealand menyertai program semalam yang merupakan salah satu daripada acara sempena NZWEEK 2014.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 26859


<script src="https://jsc.adskeeper.com/r/s/rssing.com.1596347.js" async> </script>