KUCHING: Sarawak mencatatkan rekod terbaik dalam empat peperiksaan awam pada tahun lepas membabitkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Menurut Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri Abang Mat Ali Abang Masagus berkata, komitmen jitu warga pendidikan di negeri ini amat ditagih untuk memastikan keputusan cemerlang yang dicapai berterusan.
“Keputusan UPSR yang dicatat pada tahun lepas adalah terbaik dalam 11 tahun, PMR terbaik dalam 17 tahun, SPM terbaik dalam 10 tahun dan STPM terbaik dalam lima tahun.
“Oleh itu, tahun ini merupakan cabaran besar kepada warga pendidik di negeri ini untuk mengekalkan atau meningkatkan keputusan cemerlang ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan Bengkel Memperkasakan Seni Visual STPM di sini, semalam.
Beliau berkata, keputusan yang memberangsangkan itu juga menuntut setiap warga pendidikan untuk meningkatkan pendekatan pembelajaran agar terus relevan dan dapat diterima pelajar bagi memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Banyak kaedah boleh kita gunakan untuk mengajar. Namun ia perlu bersesuaian dengan perkembangan semasa dalam sistem pendidikan negara,” ujarnya.
Mengenai bengkel tersebut, Ali menjelaskan ia merupakan platform terbaik untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan sebelum menghadapi STPM.
“Ini merupakan inisiatif terbaik untuk memperkasakan pelajar tingkatan enam. Saya berharap peserta bengkel ini dapat memanfaatkan pengetahuan yang diperolehi dengan sebaik mungkin,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, menurutnya, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan sentiasa berusaha untuk meningkatkan persekitaran pelajar tingkatan enam dengan memperkenalkan pelbagai pendekatan.
“Ia termasuk mengumpulkan semua pelajar tingkatan enam dalam satu blok sebagai usaha untuk memastikan mereka belajar dalam persekitaran terbaik,” kata Ali.
Kira-kira 300 pelajar tingkatan enam dari pelbagai sekolah seluruh negeri terlibat dengan bengkel tersebut.
Bengkel tersebut dikendalikan Hassan Mohd Ghazali yang merupakan Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).