SIBU JAYA: Dua buah motosikal dirampas oleh polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) di sebuah ladang kelapa sawit di Menyan, Jalan Nibong-Tada petang kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 3.30 petang, pasukan CPJ terserempak dengan dua lelaki yang sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan rondaan rutin di kawasan berkenaan.
Sebaik sahaja ternampak pasukan CPJ, dua lelaki tersebut terus berpatah balik menuju ke kawasan ladang kelapa sawit.
Pasukan CPJ kemudian mengejar mereka dengan kenderaan pacuan empat roda, namun dua lelaki terbabit bertindak mencampakkan motosikal mereka ke tepi jalan sebelum melarikan diri di ladang kelapa sawit di situ.
Kedua-dua motosikal tersebut yang tidak mempunyai nombor plat pendaftaran kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sibu Jaya untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Balai Sibu Jaya Inspektor Kushairy Bujang ketika dihubungi mengesahkan dua motosikal jenis Honda Wave dan Modenas Kriss dirampas, manakala dua suspek dipercayai lelaki warga Indonesia telah meloloskan diri.
Katanya, siasatan lanjut pasukan CPJ mendapati motosikal Honda Wave berkenaan telah dilaporkan hilang pada 27 Mac tahun lepas, manakala status motosikal Modenas Kriss masih dalam siasatan.