BETONG: Seorang wanita maut dipercayai ditetak oleh suaminya menggunakan senjata tajam dalam kejadian di sebuah kebun milik mangsa berdekatan Rumah Ringkai Kerapa, Spak, Betong kelmarin.
Ketua Polis Daerah Betong DSP Wan Zaizodin Wan Jaafar ketika dihubungi dan mengesahkan kejadian tersebut berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Lenjai Uli, 42, manakala suspek iaitu suaminya dikenali sebagai Tuan Jilom, 42.
Menurut beliau, laporan diterima daripada seorang pengadu yang menghubungi Balai Polis Betong memaklumkan kejadian tersebut sekitar jam 10.05 pagi kelmarin.
“Menurut pengadu, dia dimaklumkan oleh seorang penduduk berhubung kejadian yang berlaku di kebun lada milik mangsa pada jam 9.50 pagi.
“Sebaik menerima laporan tersebut, kita (polis) dan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dihantar ke lokasi kejadian untuk melakukan siasatan,” katanya.
Wan Zaizodin berkata, ketika tiba di kebun berkenaan yang memakan masa dua jam perjalanan dari Betong, pihak penyiasat menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring dengan kepalanya berlumuran darah di sebuah pondok.
“Siasatan awal mendapati terdapat lima kesan tetakan pada tubuh mangsa yang dipercayai ditetak menggunakan senjata,” jelasnya.
“Suspek yang terlebih dahulu telah ditangkap oleh penduduk disitu terus dibawa ke IPD Betong untuk ditahan reman.
“Mangsa dipercayai telah bertengkar dengan suaminya yang di bawah pengaruh alkohol ketika itu. Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Betong untuk tujuan bedah siasat.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.