MIRI: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) di sini, mengeluarkan denda maksimum RM2,000 terhadap sebuah syarikat yang beroperasi di kawasan perindustrian Kuala Baram, dekat sini kerana kesalahan melakukan pembakaran terbuka.
Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin yang mendedahkan perkara tersebut turut memberitahu bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengeluarkan surat amaran kepada enam syarikat dan 25 individu yang lain sebagai peringatan awal.
Beliau bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama agensi-agensi berkaitan di Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng di sini, semalam.
“Tindakan ini menunjukkan kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun atau tindakan undang-undang kepada individu atau syarikat yang melakukan pembakaran secara terbuka terutama pada musim kemarau ketika ini yang boleh mengundang keadaan berjerebu yang teruk,” ujar Lee.
Bagaimanapun katanya, keadaan kebakaran dan jerebu di Miri ketika ini masih dalam keadaan terkawal dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) hanya pada paras 62.
“Manakala bacaan IPU dari Menara Peninjau Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri di Tudan pula hanya mencatat 57,” katanya.
Menurut Lee lagi, semua agensi berkaitan termasuk pihak bomba, JAS Cawangan Miri dan NREB kini bersiap sedia untuk bertindak dan melakukan pemantauan menyeluruh bagi mengawal pembakaran.
Setakat ini, sebanyak 75 kes kebakaran telah diterima sejak Januari lepas termasuk kebakaran tanah gambut di Permyjaya berhampiran Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup yang kini dalam proses pemadaman.